SAUDARA PENGARANG,
Sepanjang minggu lalu, rakyat Malaysia berdebar apabila menyaksikan perlawanan badminton melibatkan pasukan negara di pentas Olimpik Paris.
Semuanya itu dengan harapan yang satu iaitu mengharapkan sejarah terpahat di pentas sukan terhebat dunia itu agar atlet negara membawa pulang emas Olimpik pertama negara.
Bagaimanapun, beregu wanita dan lelaki yang seakan memberi harapan untuk ke arah itu terkandas di separuh akhir apabila kalah kepada lawan masing-masing.
Harapan kita untuk badminton kini tertumpu kepada pemain perseorangan, Lee Zii Jia yang telah bertarung dengan jaguh Thailand, Kunlavut Vitidsarn petang semalam.
Persoalannya, begitu banyak program untuk memantapkan atlet bagi memburu emas Olimpik dilaksanakan tetapi nampaknya masih belum membuahkan hasil.
Kita perlukan pemain pelapis yang mampu memberi tentangan di peringkat antarabangsa. Sampai bila mahu menjadi jaguh kampung sahaja.
Siapakah atlet yang berjaya membawa pulang emas pertama Olimpik masih menjadi tanda tanya. Apa yang pasti, nama mereka pasti akan diingati sekiranya menjadi pelopor kepada hasrat besar rakyat Malaysia itu.
Peminat badminton,
Kuala Kubu Baharu, Selangor















