Ada pembeli yang sanggup menipu sijil akademik demi untuk mengejar pangkat. – Gambar hiasan

‘Beli ijazah sebab nak kerja, naik pangkat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Terdesak mahu mendapatkan kerja merupakan antara punca segelintir individu sanggup membeli dan menggunakan sijil akademik palsu.

Selain itu, terdapat juga golongan pekerja yang melakukan penipuan tersebut bagi tujuan kenaikan pangkat.

Seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Afham, 27, mendedahkan, dia membeli sijil bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diploma pengurusan perniagaan masing-masing berharga RM2,000 dan RM2,800 pada tahun 2022.

Episod itu bermula apabila pemuda tersebut mendapat keputusan teruk dalam SPM menyebabkan dia tidak layak me­lanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Tidak pernah terbayang di fikiran untuk membeli dan menggunakan sijil akademik palsu, tetapi saya terpaksa berbuat demikian untuk mendapatkan pekerjaan.

“Hendak cari kerja memang susah ketika itu, malah saya pernah menganggur selama setahun sebelum bekerja di sebuah kilang perabot di Balakong, Selangor.

“Saya gagal dalam beberapa subjek teras dan tidak melepasi skor minimum untuk melanjutkan pengajian. Kawan-kawan pula masuk kolej swasta, tetapi keluarga saya tidak mampu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jelas Afham, idea untuk membeli sijil akademik tersebut tercetus apabila dia melihat rakannya bekerja di syarikat swasta dengan tawaran gaji yang lebih tinggi.

“Kerja di ki­lang memang pe­nat seperti tidak ada cuti. Jadi saya mula terfikir untuk sambung belajar dengan duit yang saya kumpul. Selepas itu saya ternampak iklan jualan sijil akademik di media sosial.

“Pada waktu itu, saya fikir le­bih mudah membeli sijil akademik daripada sambung pengajian kerana ia lebih menjimatkan masa,” kata lelaki itu.

Afham mengeluarkan belanja sebanyak RM2,000 bagi mendapatkan sijil SPM palsu, manakala sijil diploma pula RM2,800.

Dengan sijil itu, Afham di­terima bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat swasta. Pemuda itu mengakui dia resah sekiranya kegiatan tersebut terbongkar suatu hari nanti.

“Ada beberapa rakan yang tahu tentang perkara ini. Walaupun ada sijil tapi pengetahuan saya masih kurang jadi saya perlukan bantuan mereka untuk memberikan tunjur ajar menggunakan sistem perisian,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pembeli sijil palsu dikenali sebagai Emma, 38, memberitahu, dia yang sudah bekerja selama 15 tahun dalam sektor perbankan membeli sijil ijazah palsu untuk tujuan kenaikan pangkat.

“Saya memang bermula dari bawah, dari unit jualan sampai ke tahap sekarang. Masalah timbul kerana gaji tidak naik sebab bukan lulusan ijazah. Apabila melihat rakan sekerja naik pangkat rasa tertekan juga,” ujarnya.

Emma kemudian membeli ijazah palsu berharga RM3,000 kira-kira dua tahun lalu.

Kosmo! semalam mela­porkan sindiket menjual sijil akademik palsu kini semakin berani apabila secara terang-terangan mempromosikan kegiatan mereka di media sosial dengan tawaran harga serendah RM1,500 hingga RM4,000.

Kegiatan tersebut yang menggunakan plat­form Instagram dan Facebook turut me­nyasarkan individu yang terdesak ‘memiliki’ kelayakan akademik bagi tujuan mencari pekerjaan.

Lebih membimbangkan apa­bila sindiket terbabit berani menyamar dan berselindung dengan nama tertentu kononnya berada di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semata-mata untuk mengaburi orang awam dan pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN