fbpx
DIVIDEN KWSP akan menambahkan lagi simpanan pencarum sebagai persediaan ketika bersara.

Muda sedap joli KWSP, tua merana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan tergesa-gesa ketika usia muda untuk mengeluarkan sebahagian duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuatkan pencarum kehilangan dividen sehingga RM20,000 dalam tempoh 20 tahun.

Sebagai contoh, jika simpanan mencecah RM200,000 pada usia 35 tahun, pulangan dividen yang mereka sepatutnya dinikmati sekitar RM10,700 setahun berdasarkan faedah 5.35 peratus.

Bagaimanapun, sekiranya pencarum mengeluarkan wang melalui i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra yang berjumlah lebih RM20,000, maka baki yang tinggal hanya RM180,000 dengan dividen RM9,630.

Beza dividen yang diperoleh RM1,000 setahun dan berjumlah RM20,000 jika 20 tahun.

Kerugian akan terus me­ningkat sekiranya lebih banyak pengeluaran dibuat ketika muda melalui Akaun Fleksibel yang akan mengecilkan perolehan dividen.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latif berkata, pencarum dinasihatkan tidak mengeluarkan lagi wang mereka demi kehidupan masa depan.

Katanya, ia penting kerana keadaan ekonomi yang lebih mencabar pada masa akan datang.

PENGELUARAN i-Citra, I-Lestari dan i-Sinar membuatkan lebih 7.2 juta pencarum KWSP kini mempunyai baki
kurang RM10,000. – GAMBAR HIASAN

“Ketika ini kos perubatan meningkat hampir 10 peratus setiap tahun. Menjelang usia bersara, kos ini akan menjadi mahal dan membebankan.

“Secara purata, rakyat Malaysia hanya menyimpan RM20,000 ketika bersara. Jumlah itu sangat tidak memadai kerana kita perlu ada RM240,000 untuk hidup selesa ketika bersara,” katanya kepada Kosmo!

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, KWSP tidak sepatutnya dijadikan alat politik untuk menyelesaikan masalah kerana ia telah
menjejaskan lebih 7.2 juta pencarum yang hanya mempu­nyai simpanan kurang RM10,000.

Katanya, kerajaan perlu menghentikan sebarang pengeluaran bersasar secara besar-besaran seperti sebelum ini.

“Ramai mengambil kesempatan dengan mengeluarkan simpanan bukan untuk tujuan sepatutnya. Sebelum ini pencarum boleh keluar duit untuk melabur dan membeli rumah tetapi ramai menyalahgunakannya.

“Paling sedih pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra untuk menyelesaikan masalah yang sementara. Oleh sebab itu, ia me­ngakibatkan lebih 7.2 juta pencarum tinggal baki kurang RM10,000. Jangan jadikan KWSP alat politik,” tegasnya.

Menurut Barjoyai, konsep asal KWSP ialah simpanan statutori (paksaan) bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada pekerja, majikan dan kerajaan selain menjadi penyelamat buat mereka yang tidak mempunyai skim pencen.

Bagaimanapun tambahnya, konsep itu telah gagal apabila berlaku kebocoran yang besar sehingga dana simpanan hari tua ‘hilang’ RM50 bilion sebelum ini.

“Jangan ada lagi pihak yang menipu rakyat kononnya ingin menghapuskan kesengsaraan mereka dengan mengeluarkan duit KWSP sedangkan hakikatnya mereka akan menanggung derita ketika bersara kelak,” katanya.

PENCARUM muda dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan simpanan
bagi mengelakkan masalah kekurangan dana pada hari tua.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Liza Shafie, 48, berkata, tiada keperluan buatnya memindahkan caruman ke Akaun Fleksibel.

“Pendapatan saya dan suami cukup untuk menampung keperluan harian kami empat beranak. Lagipun kereta sudah habis bayar dan dua anak sudah besar selain kami mempunyai simpanan,” katanya.

Jurutera di Bayan Lepas, Aysa Halim, 43, pula memberitahu, dia tidak akan mengusik simpanan tersebut kerana lebih sanggup membuat pinjaman peribadi daripada bank atau menggadaikan barang kemas jika terdesak.

“Lebih manis jika kita lihat jumlah besar yang ada dalam KWSP bila bersara nanti kerana segala penat lelah bekerja ketika muda akan hilang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN