PETALING JAYA – Keputusan sesetengah pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memilih untuk tidak mengeluarkan wang menerusi Akaun Fleksibel adalah disebabkan keinginan untuk menikmati dividen tahunan yang lebih tinggi.
Seorang pencarum dikenali sebagai Shahidah berkata, dia langsung tidak berhasrat untuk mengeluarkan atau memindahkan caruman dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel buat masa ini.
Menurut wanita berusia awal 50-an itu, dia sebenarnya ingin menikmati kadar dividen KWSP yang lebih tinggi bagi keperluan jangka panjang terutama untuk keluarganya.
“Sejak saya berhenti kerja pada hujung tahun lalu akibat masalah kesihatan, dividen KWSP inilah yang membantu ‘memberi’ perbelanjaan bulanan kepada saya selepas hidup tidak bergaji.
“Sekurangnya-kurangnya dengan duit ini, saya dapat membantu suami menguruskan perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya kepada Kosmo!.
Shahidah yang juga bekas pengurus besar di sebuah syarikat ultiliti berkata, jumlah dividen yang diterima pada tahun lalu agak tinggi dan jika dibahagikan kepada 12 bulan, anggarannya adalah hampir RM4,000 sebulan.
“Dividen ini saya anggap sebagai gaji bulanan saya. Bolehlah saya bantu suami beli barang keperluan dan uruskan keperluan tiga anak kami yang masih bersekolah dan belajar di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Seorang lagi pencarum dikenali Hasni, 48, berkata, kadar dividen KWSP yang tinggi menyebabkan dia lebih berminat untuk tidak membuat sebarang pengeluaran buat masa ini.
“Saya rasa, apa yang penting adalah untuk hari tua. Lebih-lebih lagi pekerja swasta seperti kami. Kami tiada pencen dan KWSP adalah satu-satunya simpanan yang yang ada selepas bersara,” katanya.














