PEKAN kurang yakin dengan kemampuan atlet negara untuk membawa pulang pingat emas pertama negara pada Olimpik Paris.

Emas Olimpik tidak boleh bersandarkan pada nasib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERAMAI 26 atlet negara daripada sembilan jenis sukan tampil di temasya Sukan Olimpik 2024
di Paris, Perancis yang telah membuka tirainya secara rasmi semalam.

Antara sukan terlibat adalah terjun, renang, pelayaran, menembak, berbasikal trek, berbasikal lebuh raya, angkat berat, badminton, golf, memanah dan olahraga.

Sama seperti edisi-edisi sebelumnya, Malaysia masih lagi mencari ‘permata’ yang mampu memecahkan kemarau pingat emas negara sejak Olimpik Melbourne 1956.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan bagi mencapai objektif tersebut, namun pencapaian semasa atlet menimbulkan persoalan berkenaan kemampuan mereka membawa pulang pingat emas buat negara.

Bagi mengupas misi Olimpik dengan lebih lanjut, wartawan Kosmo Ahad!, SITI SARAH NURUL LIYANA berkesempatan menemu bual penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli.

KOSMO! AHAD: Pingat emas merupakan matlamat utama kita memandangkan negara masih gagal meraihnya. Apakah Datuk yakin atlet negara mampu meraih emas pada temasya kali ini?
PEKAN RAMLI: Maaf, keyakinan saya terhadap kemampuan atlet negara untuk memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 amat rendah.

Malah, ia lebih rendah berbanding dua temasya Sukan Olimpik sebelum ini iaitu di Rio 2016 dan Tokyo 2020. Kita mesti berpegang pada asas yang kuat untuk meletakkan rasa yakin terhadap kemampuan mencapai misi ini.

Asas pertamanya adalah kedudukan ranking dunia atlet itu. Ini bermaksud, mereka bukan hanya sekadar layak ke Paris 2024, malah mesti berada pada tahap tertinggi dunia dan konsisten, bukan terumbang-ambing.

Kedua, bersandarkan pada prestasi semasa atlet. Mereka perlulah konsisten dengan rekod-rekod kejayaan yang meyakinkan sepanjang perjalanan menuju ke Olimpik. Ketiga, berdasarkan analisis perbandingan keupayaan semasa atlet kita dengan seteru-seteru utamanya.

Jadi, bersandarkan kepada tiga pegangan asas utama itu, saya tidak nampak korelasi yang sangat kuat untuk memilih mana-mana atlet bagi meraih pingat emas di Paris 2024. Kalau ada pun, atlet itu cuma sekadar sebuah harapan dan pertaruhan sambil berharap keajaiban pada temasya itu nanti.

Cuma kita kena ingat, ini Sukan Olimpik dan bukannya sukan-sukan serantau yang kita boleh sandarkan kepada nasib atau keajaiban. Kita bercakap tentang mencari seseorang atlet terhebat di planet Bumi ini. Maafkan saya di atas pandangan agak pesimis ini.

Seperti semua sedia maklum, badminton dan basikal trek merupakan prospek terbaik untuk membawa pulang pingat. Adakah Datuk melihat sasaran ini realistik berdasarkan prestasi semasa atlet bagi kedua-dua sukan ini?
Saya akui bahawa prospek membawa pulang pingat untuk negara kita bersandarkan kepada legasi kejayaan sesuatu sukan itu. Ketika ini, kita nampak memang sukan badminton dan basikal trek.

Kita berpegang pada asas yang kuat terutama pada atlet dalam sukan badminton dan basikal trek.

Walaupun kurang meyakinkan tetapi masih berada pada ranking sepuluh teratas di dunia. Jadi, asas ini masih boleh kita letakkan sebagai prospek untuk menang pingat dan realistiknya bukan pingat emas.

Hasil pengamatan Datuk, apakah sukan atau acara yang dilihat mampu memberi kejutan di Sukan Olimpik kali ini, sekali gus memberi pingat kepada negara?
Selain kita bercakap tentang badminton dan basikal trek, saya berharap kejutan boleh dilakukan oleh atlet angkat berat menerusi badang negara, Mohamad Aniq Kasdan.

Dia diharap boleh melakukan kejutan dengan mengatasi bebanan lebih 300 kilogram (kg) untuk kombinasi acara clean, snatch dan jerk.

Rekod peribadinya yang juga rekod kebangsaan adalah 296kg, hanya kurang beberapa kilogram lagi untuk mencerahkan peluang berada dalam ‘contender’ pingat untuk acara 60kg.

Pihak kerajaan telah mengumumkan ganjaran lumayan kepada atlet yang berjaya meraih emas. Adakah Datuk berasa ganjaran berkenaan dapat memberi motivasi tambahan kepada atlet?
Saya lebih suka kalau cerita-cerita imbuhan ini tidak terlalu disensasikan. Saya percaya motivasi dalaman (intrinsik motivation) seseorang untuk menjadi juara dunia atau menang pingat emas di Sukan Olimpik itu jauh lebih penting.

Ia harus mengatasi motivasi luaran (extrinsic motivation) seperti pelbagai gula-gula yang ditaburkan.

Jika atlet itu adalah jenis materialistik serta memandang longgokan habuan, keghairahan dan kesungguhan yang melampau lebih mudah membawa kegagalan.

Jadi, atlet kita harus lupakan semua ganjaran itu dahulu, jangan berangan, jangan bermimpi, jangan berkhayal, tetapi paling penting sekarang fokus sepenuhnya kepada acara yang bakal harungi di Paris.

Sebelum ini, ada pihak mempersoalkan mengenai jumlah pengiring lebih ramai berbanding atlet bertanding di Sukan Olimpik. Apakah pendapat Datuk mengenai perkara ini?
Bila atlet negara yang layak tidak ramai, tetapi pegawai pula yang ramai sudah tentu menarik perhatian netizen.

Untuk penyertaan di Sukan Olimpik, kita tidak boleh mengguna pakai perbandingan atau unjuran mengikut saiz kontinjen seperti amalan-amalan yang ditetapkan dalam peraturan am kerajaan dalam hal-hal berkaitan lawatan atau rombongan ke luar negara.

Penyertaan di temasya sukan paling berprestij di dunia ini perlu datang sekali dengan pakej lengkap.

Biarpun hanya seorang atlet tahap dunia yang disandarkan untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik, namun pasukan sokongannya mungkin jauh lebih besar. Ia merangkumi pengurus, jurulatih, ahli fisioterapi, pakar psikologi, pakar pemakanannya dan lain-lain. Kos yang terpaksa ditanggung itu memang nampak seperti pembaziran, tetapi itulah realitinya.

Nilai sebuah kejayaan atau pingat yang dimenangi itu tidak dapat disamakan dengan wang ringgit.

Seperti kita tahu, kerajaan telah berhabis dalam program Road To Gold (RTG). Adakah emas di Paris merupakan kayu pengukur kepada pencapaian program itu?
Bagi saya, kalau ada atlet dalam program Road To Gold (RTG) menang pingat emas, ia hanya kebetulan.

RTG ini baru diumumkan pada Januari 2023 oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Baru setahun setengah, memang ajaib dan hebat program RTG ini kalau dalam tempoh itu telah melahirkan pemenang pingat emas pertama negara.

Saya boleh katakan, jangan ‘claim’ sangatlah itu hasil daripada RTG kalau pun ia berlaku nanti. Nanti berduyun-duyun pula negara di dunia datang ke Malaysia untuk menuntut ilmu RTG ini. Sebenarnya, kita tidak boleh lupakan kesinambungan daripada program podium dan pembangunan sukan prestasi tinggi yang sudah berjalan begitu lama.

Malah, belum bermula Paris 2024 sudah muncul program ‘Fast Track’ iaitu anak kepada RTG untuk atlet harapan Olimpik Los Angeles 2028.

Memang kita tahu, kayu pengukur kepada pencapaian ini adalah pingat emas. Kalau tiada emas tercapai, apakah ada perkataan lain yang sesuai selain daripada ‘gagal’?

Sejauh manakah aspek mental memainkan peranan dalam memastikan atlet mampu memberikan aksi terbaik? Apa yang perlu dilakukan supaya atlet tidak mudah ‘koyak’ dalam gelanggang?
Saya rasa semua ahli sukan atau atlet tahu bahawa ketahanan mental adalah kunci kejayaan seseorang.

Atlet yang mudah ‘koyak’ mentalnya tidak mungkin boleh menjadi juara atau berjaya sebagai ahli sukan. Ini kerana, ketahanan mental mempunyai hubungan rapat dengan kecerdasan emosi.

Banyak latihan-latihan yang boleh dilakukan oleh atlet bagi memperkukuhkan ketahanan mental termasuklah menambah kekuatan rohani dan jasmani, spiritual, beryoga serta melatih diri untuk sentiasa bersabar dengan pelbagai tekanan.

Pada pendapat Datuk, sejauh manakah media sosial mampu mengganggu konsentrasi seseorang atlet yang beraksi di Sukan Olimpik?
Media sosial ini jika pandai menggunakannya secara positif dapat memberikan rangsangan dan peningkatan motivasi kepada seseorang atlet.

Namun, jika tidak bijak menggunakannya media sosial ini membuka ruang kecaman terhadap diri seseorang atlet. Kita bimbang ia boleh mengganggu konsentrasi atlet kita di Paris.

Kita tak boleh nak rampas atau minta atlet disimpan ‘gajet’, mereka sudah dewasa dan sepatutnya bijak dan pandai mengawalnya.

Namun, saya syorkan kepada atlet kita di Paris supaya melupakan sejenak ‘platform’ media sosial mereka. Lebih baik bertenang seketika sehingga selesai semuanya dan mungkin hanya berkongsi dengan anggota keluarga serta kawan-kawan yang boleh dipercayai.

Ada pihak menganggap sukan bukan sekadar pingat emas, sebalik medium penyatuan masyarakat. Adakah Datuk bersetuju dengan kenyataan seperti itu?
Saya bersetuju dengan kenyataan ini. Cuma amalan sebenar atau secara praktik, ia tidak berlaku seperti yang kita harapkan. Ini kerana, ada beberapa sukan itu kembali mengikut polarisasi kaum.

Sudah tiada lagi kesedaran tentang pentingnya kemajmukan sebagai aspek saling melengkapi seperti peringkat awal kemerdekaan negara sehingga ke tahun 80-an.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN