Bukan mudah untuk mengharungi hidup apabila terperangkap dengan hutang kiri dan kanan.
Bangun sahaja dari tidur, hutang dahulu yang bermain di minda. Sehinggalah tiba waktunya untuk melelapkan mata, hutang juga yang mengulit-ulit tidur.
Realitinya pada hari ini, hutang hadir dalam pelbagai bentuk. Pinjaman pendidikan, perjanjian sewa beli kenderaan serta komitmen lain seperti kad kredit sudah menjadi ‘peneman’ segelintir rakyat di negara ini.
Lebih malang apabila seseorang terjerat dengan hutang ciptaan sendiri akibat nafsu tak terbendung bagi memuaskan gaya hidup terkini.
Platform e-dagang turut menyumbang kepada masalah tersebut apabila pembelian barangan boleh dilakukan dalam sekelip mata. Pembelian di hujung jari ternyata merupakan satu jerat yang jelas bagi mereka yang gagal mengawal diri untuk berbelanja.
Persoalan yang timbul sewaktu terjerat dengan hutang-hutang berkenaan adalah, bagaimana mahu mengendalikan masalah itu.
Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Ipoh, Tung Ka Yin berkata, pihaknya menasihati orang ramai agar menggunakan Formula 4A bagi menangani situasi tersebut.
Jelas beliau, pertamanya adalah untuk mengakui diri sedang berhadapan dengan masalah hutang tidak terurus atau tidak terkawal.
“Jangan sesekali lari atau mengelak tanpa cuba mencari jalan penyelesaian. Sekiranya tiada bayaran dibuat, masalah sedia ada tidak akan selesai dan institusi kewangan atau penyedia kredit akan terus mengenakan faedah, caj bayaran lewat dan caj guaman ke atas pinjaman tersebut.
“Langkah seterusnya adalah melakukan analisa terhadap kedudukan kewangan. Senaraikan semua jenis pinjaman sedia ada bersama institusi kewangan, penyedia kredit, pemiutang bukan bank dan juga ahli keluarga atau rakan-rakan dengan mengira jumlah pinjaman dan baki tempoh setiap pinjaman,” katanya baru-baru ini.
Katanya, menerusi langkah itu , seseorang boleh melihat gambaran keseluruhan keadaan hutang sedia ada dan pada masa yang sama membolehkannya membuat perbandingan dengan keadaan pendapatan mereka.
Ujarnya, langkah ketiga dalam Formula 4A berkenaan adalah ambil tindakan.
“Ambil tindakan untuk berunding dengan semua pemiutang bagi menjelaskan masalah kedudukan kewangan agar kita diberi peluang untuk membuat permohonan menstrukturkan semula pinjaman atau pembiayaan sedia ada.
“Antaranya, menjadualkan semula pinjaman atau pembiayaan, menangguhkan pembayaran, membayar faedah sahaja, memanjangkan tempoh pinjaman, mengurangkan kadar faedah dan sebagainya,” katanya.
Langkah terakhir menurut beliau, adalah dengan mendapatkan bantuan daripada AKPK yang berperanan sebagai orang tengah antara peminjam dan penyedia kredit atu kewangan.
Katanya, ia bagi membolehkan pinjaman atau pembiayaan distruktur semula mengikut aliran tunai semasa peminjam melalui Program Pengurusan Kredit AKPK untuk individu serta Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana.














