“Adakah ini strategi Adira untuk tidak bermadu? Macam ada yang kena khianat, pandai bersandiwara.”
Itu antara komen negatif dihamburkan netizen apabila penyanyi Adira Suhaimi dan bekas suami, Datuk Red mengesahkan kembali bercinta serta merancang untuk berkahwin selepas sambutan Aidilfitri tahun depan.
Seperti biasa, kelompok ‘terpaling’ itu rancak berkompang di ruangan komen dalam media sosial.
Bagi penulis, tak perlu dipertikai keputusan hidup individu lain. Tidak kiralah siapa individu itu, baik selebriti, figura ternama, waima anak raja sekali pun. Itu kehidupan dia, sudah pasti dia tahu apa yang terbaik buat dirinya. Lebih-lebih lagi dalam soal jodoh kerana semua sudah diatur Yang Maha Kuasa.
Berbalik kepada kisah kahwin cerai Adira dan Datuk Red, penyatuan semula dua hati ini sudah dijangka ramai orang. Bahkan rata-rata peminat Adira mendoakan pasangan ini kembali bersatu apatah lagi mereka mempunyai empat anak yang masih kecil.
Dari hari pertama mereka bercerai, ada sahaja doa dititipkan peminat dalam setiap komen yang ditinggalkan menerusi media sosial Adira mahupun bekas suaminya. Justeru, perkembangan terbaharu pasangan yang tamat idah pada 15 Julai lalu itu sudah semestinya mendapat ‘restu’ peminat Adira bahkan ada yang berharap tarikh pernikahan dipercepatkan.
Tidak dinafikan, Datuk Red bertuah kerana diberikan peluang kedua oleh Adira dan ini diperakui sendiri tuan badan. Banyak perubahan dapat disaksikan, malah Adira tidak putus-putus memberikan semangat untuk Datuk Red kembali bangkit dan rancak berniaga dalam TikTok. Baguslah sama-sama usaha dan menemui kata sepakat yang baik.
Melihat kisah pasangan ini teringat pula Farid Kamil dan Diana Danielle. Menempuh fasa perceraian, rujuk semula dan kini bahagia hidup bersama. Farid juga bertuah diberi peluang kedua untuk kembali menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Bahkan penyatuan semula pasangan terkenal ini selepas ‘berpisah sementara’ turut disambut gembira peminat, malah rata-rata mengakui seronok melihat Farid dan Diana tampak lebih bahagia kali ini.
Ini adalah sebahagian daripada rahsia kehidupan. Untuk meraih bahagia, manusia adakalanya diuji dengan perpisahan. Ketika bersendirian, proses muhasabah diri berlaku dan mula nampak dengan jelas apa yang kita mahukan dalam hidup ini dan apa yang perlu diperbaiki demi meraih bahagia.
Bagi yang serius mahu kembali bersama, ini menjadi titik perubahan terbesar dalam hidup dan bermulalah pelayaran bahtera perkahwinan baharu yang lebih baik. Inilah yang dapat kita saksikan dalam kisah cinta Farid dan Diana. Semoga jodoh mereka kekal bahagia hingga akhir hayat.
shakilaDoa yang sama dititipkan buat Adira dan Datuk Red. Semoga Hasrat mereka untuk kembali hidup bersama dipermudahkan. Begitu juga dengan anda di luar sana yang melalui fasa sama seperti ini. Semoga kalian dapat mendakap bahagia dan kembali tersenyum.














