BENTONG – Seorang lelaki bersyukur apabila anaknya yang hilang sejak 15 Julai lalu ditemui dalam keadaan selamat selepas berita mengenainya disiarkan melalui akhbar ini.
Shahrizan Mohd. Daud, 44, berkata, anaknya Nur Aina Faqihah, 17, ditemui oleh orang awam pada pukul 2.30 petang di Stesen Bas Triang, Bera sebelum dibawa ke balai polis berhampiran.
Katanya, anak ketika daripada tujuh beradik itu tiba di rumah di Felda Lurah Bilut pada pukul 11 malam semalam selepas memberi keterangan kepada polis.
“Ketika ini dia banyak mendiamkan diri kemungkinan kerana kepenatan. Saya pun tidak mahu bertanya banyak kerana hendak beri dia berehat selepas lebih seminggu hilang.
“Semasa saya menerima gambarnya di stesen bas itu saya seakan tidak kenal kerana dia kelihatan agak serabut kerana sudah lama menghilangkan diri,” katanya.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan kes orang hilang semakin menjadi-jadi apabila tiga lagi kejadian terbaharu membabitkan tiga remaja perempuan berlaku di Petaling Jaya, Sungai Petani, Kedah dan Bentong, Pahang.
Menurut Shahrizan, anaknya menumpang di rumah rakan-rakan perempuannya di beberapa tempat bermula di Raub dan terakhir di Bera.
Tambahnya, akibat daripada penularan berita itu menyebabkan rakan-rakannya berasa takut dan meminta mangsa pulang ke rumahnya.














