Sebahagian petugas yang terlibat dalam pembikinan siaran langsung di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini. – FARIZ RUSADIO.

250 petugas, 18 kamera jayakan siaran pertabalan YDPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAMA 14 tahun berkhidmat di unit Hal Ehwal Semasa, Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM), diberi tanggungjawab untuk menerbitkan siaran langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan antara tugas yang mencabar dalam kariernya.

Bukan sekadar mahu melaporkan apa yang berlaku semasa hari kejadian, tetapi sepanjang tempoh siaran pelbagai aspek perlu diambil kira bagi memastikan kelancaran siaran bermula di studio hingga ke lokasi iaitu Istana Negara.

Menurut Penerbit Penyelaras (Istana Negara), Rasliza Abdul Razak, 42, bagi upacara yang berlaku setiap lima tahun sekali itu, perancangan untuk siaran langsungnya telah dirancang selama berbulan-bulan sebelum itu.

“Persiapan untuk sebuah acara yang berlangsung hanya sehari memakan masa antara tiga hingga empat bulan, bermula dengan perbincangan dan mesyuarat bersama pihak-pihak terlibat kepada menstruktur pasukan, kewangan dan kandungan supaya perjalanan siaran berjalan lancar.

“Istiadat pertabalan merupakan acara yang besar bagi meraikan YDPA dan sebagai penyiar rasmi kita menggalas tanggungjawab berat untuk memastikan bukan hanya laporan langsung berjalan lancar tetapi menjaga imej penyiaran negara berikutan siaran turut dikongsi ke stesen televisyen lain di dalam serta luar negara,” katanya ketika ditemu bual K2 di Wisma Berita RTM baru-baru ini.

Tambah wanita asal Pulau Pinang itu, bagi siaran kali ini, pembikinan siaran langsung agak mencabar kerana ia melibatkan dua lokasi iaitu di studio Wisma Berita dan Istana Negara kerana siaran dilakukan di set utama (studio) dan lintas langsung di lokasi pertabalan.

Bukan setakat itu, buat pertama kali, siaran langsung kali ini juga dikendalikan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang turut diterjemahkan dalam bahasa isyarat.

Berlangsung dari pukul 8 pagi hingga anggaran 1 tengah hari, siaran langsung ini juga bakal bersiaran bukan hanya di Malaysia tetapi di beberapa negara seperti Bahrain dan Brunei.

Berkongsi tentang perjalanan siaran langsung, Rasliza memberitahu, kali ini siaran akan bermula di set utama yang akan menampilkan hos serta pakar-pakar berkongsi pandangan serta kepakaran tentang sejarah sistem beraja di Malaysia, tradisi pertabalan serta yang berkait dengannya.

Kemudian, apabila majlis istiadat bermula, siaran akan berpindah ke Istana Negara yang mana lintas langsung pertabalan akan ditayangkan sehingga tamat sebelum kembali ke set utama.

Seorang petugas mengendalikan salah satu kamera.

“Selain atur cara utama di Istana Negara, kita juga menyediakan bahan-bahan dan visual di sebalik apa yang rakyat perlu tahu mengenai pertabalan, contohnya kita membawakan penceritaan mengenai alat-alat kebesaran diraja, sejarah dan sebagainya.

“Dalam siaran langsung melibatkan institusi diraja, segala kandungan telah mendapat perkenan YDPA termasuk warna rasmi baginda iaitu tiffany blue, malah segala perancangan untuk perjalanan siaran termasuk skrip hos telah dipersembahkan untuk semakan baginda terlebih dahulu,” ujarnya yang memberitahu bahawa siaran langsung kali ini melibatkan 250 petugas di studio Wisma dan lapangan.

Tambahnya, dalam perjalanan dari awal hingga siaran, pihaknya juga menjalankan latihan awal termasuk dengan kod pakaian sebenar dari studio hingga lapangan sebelum upacara berlangsung bagi melancarkan tugas semua pihak sepanjang siaran.

Berkongsi tentang penyiaran di set utama, Penerbit Rancangan (Studio), Mohd. Faizal Nazreen Abdullah, 36, menjelaskan, di set utama siaran akan dilakukan pembuka dan penutup untuk lintas langsung istiadat pertabalan YDPA.

Katanya, konsep siaran di set utama merupakan kelainan yang dibawakan pada siaran langsung kali ini dengan menampilkan segmen diskusi bersama tetamu jemputan.

“Tugas kami di studio adalah sebagai pembuka dan penutup acara yang diisi dengan persembahan grafik, input tentang istiadat dan sejarahnya sebagai wadah untuk penonton memahami upacara yang berlaku setiap lima tahun ini.

“Sebagai penerbit, kelancaran di studio juga penting sebagai pelengkap siaran langsung. Kami bukan sahaja mengendalikan dua segmen di awal dan akhir tetapi juga perlu sentiasa bersiap siaga untuk kembali bersiaran di tengah upacara jika berlaku sebarang kesilapan teknikal di lapangan,” kongsinya.

Tambah jejaka asal Kelantan itu, di studio juga mengendalikan siaran langsung bukan sahaja melibatkan rakaman di set utama, tetapi turut melibatkan pasukan belakang tabir yang mengendalikan urusan teknikal siaran.

Kongsinya lagi, meskipun hal tersebut jarang berlaku, dengan adanya konsep set utama ini ia dapat menutup cela bagi sebarang masalah teknikal yang mengganggu siaran di lapangan dan mereka boleh mengisi slot tersebut dengan pengisian bersama pakar yang ada di studio.

Selain di hadapan lensa, cabaran belakang tabir juga merupakan salah satu perkara yang perlu dititikberatkan sepanjang siaran.

Menurut Penolong Pengarah (Seksyen Produksi Siaran Luar Televisyen), Mohammad Al-Ree Moharam, 45, operasi teknikal di lapangan sebenarnya amat mencabar.

Katanya, apabila melibatkan istiadat diraja seperti pertabalan pihaknya perlu mematuhi segala protokol yang ditetapkan, selain memastikan segala paparan dan siaran dapat diperoleh dengan lancar.

“Kita mempunyai kira-kira 18 kamera yang dipasang sepanjang upacara berlangsung dan semua kamera ini hanya boleh diletakkan di kawasan yang ditetapkan sahaja dan ia perlu ditempatkan sebaiknya supaya setiap momen dapat dirakam dengan sempurna.

“Begitu juga untuk penghantaran isyarat, biasanya untuk siaran langsung kita menggunakan sambungan kabel ke satelit untuk memancarkan isyarat langsung ke ibu pejabat, tetapi dalam upacara rasmi ia boleh mengganggu laluan di pekarangan istana dan sebagainya.

“Oleh yang demikian, kami perlu membuat pancaran dari OB Van ke Menara Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Wisma Berita,” jelasnya yang kali pertama menguruskan siaran luar untuk upacara pertabalan YDPA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN