Bersandarkan kelebihan-kelebihan itu, ibarat pucuk dicita ulam mendatang, kesempatan terhidang luas ini telah membuka mata seorang pemuda di Benut, Pontian, Johor, Shahrizan Rosli, 38, bergiat dalam industri penternakan ikan air tawar.
Menurut orang Felda Palong Timur, Segamat itu, dia mula berjinak dengan ternakan akuakultur susulan bapa mentuanya meninggal dunia.
“Selepas bapa mentua saya meninggal dunia, tiada siapa yang nak menguruskan harta pusaka, oleh itu isteri saya, Norhafizah Ernan, 37, mengambil alih dalam pengurusan harta pusaka termasuk tanah yang mempunyai kolam.
“Tanah ini sebelum ini disewakan kepada penternak lain, namun mempunyai masalah dan kami mengambil alih untuk menguruskan kolam yang sedia ada.
“Saya sebelum ini bekerja sebagai konsultan kualiti insurans di sebuah institusi perbankan di ibu negara selama enam tahun dan buat part time sebagai pengurusan acara,” katanya.
Pada tahun 2017, bapa kepada dua cahaya mata itu memulakan usaha mengorak langkah terus ke hadapan dengan memberi fokus sepenuhnya kepada ternakan akuakultur.
Meskipun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang akuakultur, Shahrizan berkata, dia mendapatkan bimbingan daripada Jabatan
Perikanan Daerah Pontian dan mengikuti kursus akuakultur di Institut Penyelidikan Air Payau di Gelang Patah, Johor.
Setelah menimba ilmu dalam bidang ternakan air payau, Shahrizan mengeluarkan modal sebanyak RM100,000 untuk membina beberapa lagi kolam serta sistem pendawaian serta membeli beberapa mesin untuk proses menguruskan kolam ternakan.
Menurutnya, dia menghasilkan benih ikan siakap, ikan susu, ikan merah, kerapu, siakap merah, senangin serta pembesaran udang putih dan udang galah.
Ketika ini, dia memberi fokus kepada penghasilan benih ikan siakap putih.
Shahrizan berkata, dia mendapatkan telur siakap daripada pembekal dari Kong Kong, Masai, sebelum melakukan teknik asuhan benih bagi tempoh antara hari ke-45 hingga ke-50 daripada telur kepada saiz benih tiga inci.
Ujarnya, setiap satu pusingan sebanyak 500,000 telur ikan akan dibeli dan diasuh sebelum benih dibesarkan mengikut saiz pasaran dan dijual kepada pembeli di Johor, Melaka serta Pulau Pinang.
“Pada kebiasaannya, daripada 500,000 telur yang kita asuh, hanya 10 peratus iaitu anggaran 40,000 ekor anak ikan kecil dapat dihasilkan.

“Ini kerana, sifat ikan siakap ialah ikan pemangsa, mereka akan makan kawanan mereka sendiri sejak kecil lagi,” katanya.
Menurutnya, proses asuhan benih bermula daripada telur ikan dijaga dengan kualiti air 7.5pH dan tahap kemasinan antara 20 ke 25ppt.
Telur akan menetas dalam tempoh 15 hari dan proses grading anak benih dilakukan serta dipindahkan ke kolam yang lain.
Di kolam yang baharu ini akan dilakukan proses pembajaan air untuk menaikkan atau menghasilkan plankton makanan untuk rega atau larva ikan.
Dalam tempoh sehingga ke hari 45, makanan rumusan iaitu palet atau dedak ikan halus akan diberikan kepada benih ikan sehingga mencapai saiz pasaran iaitu tiga inci.
“Apabila mencapai saiz tiga inci, benih akan dituai dan dijual kepada pembeli dengan harga 70 sen seekor. Setiap satu pusingan dapat menghasilkan sehingga 40,000 ekor benih dan pulangan yang akan diperoleh sekitar RM28,000.
“Dalam setahun, sebanyak antara tiga atau empat kali pusingan benih ikan dapat dilakukan dan pulangan kasar dalam tempoh setahun mencecah RM80,000,” katanya.
Pada kebiasaannya, akan ada lebihan benih ikan siakap dihasilkan dan akan dijual kepada penternak kecilan sekitar negeri ini.
Shahrizal berkata, selain benih ikan siakap putih, dia turut mencuba menghasilkan benih ikan susu atau chanos chanos atau juga dikenali sebagai ikan pisang-pisang.
Ujarnya, benih ikan susu adalah pertama kali dan masih dalam proses percubaan.
Untuk asuhan benih ikan susu kolam ternakannya adalah yang pertama di Pontian.
“Proses asuhan benihnya adalah sama seperti ikan siakap putih dan akan dituai apabila mencapai saiz pasaran sebesar tiga inci dan dijual kepada pembeli dengan harga sama seperti benih ikan siakap tadi.
“Setakat ini saya ada benih ikan susu anggaran dalam 3,000 ekor dan benih itu sudah ada penternak dari Sungai Tiram, Ulu Tiram,” katanya.
Selain benih, Shahrizan turut menghasilkan siakap dewasa dengan saiz pasaran seberat 500 gram.
Katanya, ikan siakap dewasa itu dijual dengan harga RM18 untuk ikan hidup dan biasanya akan dipasarkan kepada pengusaha kolam pancing di sekitar Johor Bahru.
Manakala ikan mati pula dijual dengan harga pasaran RM12.














