fbpx
Kawasan di sekitar Tasik Shah Alam, Selangor dipenuhi lampu berwarna-warni sempena HLN 2024 yang diadakan baru-baru ini.

Tasik Shah Alam dilimpahi cahaya bergemelapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUSAT bandar Shah Alam, Selangor bertransformasi menjadi taman berwarna-warni nan mempesonakan.

Ia bersempena Hari Landskap Negara (HLN) 2024, sekali gus menjadikan suasana sekitar Tasik Shah Alam bergemerlapan dengan cahaya pelbagai tema yang mempesonakan.

HLN 2024 anjuran Jabatan Landskap Negara dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu menjadi pemangkin untuk menggalakkan pelancong terus berkunjung ke bandar raya tersebut.

Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti, Shahrin Ahmad, MBSA melalui program Go Shah Alam komited untuk menjadikan bandar raya yang terkenal dengan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu sentiasa meriah dengan program mega.

“Kita mempunyai sebuah program yang dinamakan Go Shah Alam yang mana ia memfokuskan untuk menarik kedatangan pelancong.

“HLN 2024 yang diadakan di kawasan Tasik Shah Alam bukan sahaja menonjolkan keindahan landskap oleh setiap pihak berkuasa tempatan.

“Sebaliknya, ia juga mampu memperkenalkan produk pelancongan di sekitarnya,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Jelas Shahrin lagi, pihaknya sememangnya mahu menjadikan Shah Alam sebagai kawasan pelancongan yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga.

“Shah Alam sememangnya memiliki kawasan landskap yang menarik serta aktiviti sukan ekstrem Zipline dan air pancuran berirama yang sesuai dikunjungi oleh segenap lapisan ahli keluarga.

LANDSKAP di sekitar Tasik Shah Alam turut dihiasi pokok bunga bagi memeriahkan HLN 2024.

“Kita juga ada Taman Botani Negara Shah Alam, Taman Persahabatan Selangor-Jepun, I-City, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan lain-lain lagi.

“HLN 2024 diharap dapat menjadikan Shah Alam lebih diingati sebagai lokasi penganjuran program yang mampu menarik minat pencinta flora seperti bunga dan pokok-pokok,” katanya.

HLN 2024 telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 25 Mei dan berakhir pada 2 Jun lalu.

Bagi mengulas mengenai HLN yang mendapat sambutan hangat selepas dirasmikan, pihak Jabatan Landskap MBSA menganggap ia cukup luar biasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Lanskap MBSA, Khairunnisa Mohd. Zaini​ berkata, MBSA sebagai penganjur bersama dan tuan rumah bertindak menyediakan semua keperluan logistik dan teknikal di tapak.

“Ia termasuk pengindahan persekitaran, pemantauan dan pengurusan program sepanjang 10 hari berlangsung.

“Pengunjung untuk 10 hari program adalah seramai 150,000 orang dengan purata pelawat adalah sekitar 13,000 orang sehari.

“Sambutan luar biasa disumbangkan oleh pelawat-pelawat yang datang dari luar seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Khairunnisa berkata, bandar Shah Alam pasca HLN 2024 akan terus dimantapkan landskapnya dengan melibatkan kawasan tumpuan pelancong.

Projek-projek terbaharu yang dinamakan sebagai Linear Park akan dibina di zon penampan Seksyen 15 bersebelah Lebuh Raya Persekutuan bagi menarik kehadiran pelawat.

“Selain itu, tempat tarikan Taman Anggerik Shah Alam dijangka siap pada akhir tahun ini.

“Kita juga sedang membina Taman Kucing Shah Alam (Catopia) dan Projek Menaik Taraf Landskap Pusat Bandar seksyen 14 Shah Alam yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN