JAMBATAN Guillemard di Kusial Bharu, Tanah Merah, Kelantan merupakan salah satu lokasi tarikan pelancong.
Ini disebabkan rekodnya sebagai jambatan kereta api terpanjang dan kedua tertua di negara ini selepas Jambatan Victoria di Karai, Kuala Kangsar, Perak.
Jambatan sepanjang 600 meter yang dahulunya merupakan penghubung utama penduduk Kusial Bharu dengan Paloh Rawa, Machang kini mencecah usia 100 tahun pada tahun ini. Jambatan itu mula dibina pada 1920 sebelum siap sepenuhnya pada 19 Julai 1924.
Ketika itu, jambatan yang juga merupakan landasan kereta api berkuasa arang batu itu turut digunakan sebagai laluan motosikal dan kereta.
Kini, jambatan itu hanya digunakan untuk kereta api sejak laluan utama dari antara jajahan Machang ke bandar Tanah Merah siap dibina.
Jambatan Guillemard digunakan oleh semua kenderaan darat sehingga tahun 1988. Ia merupakan kawasan yang meriah dengan pelbagai aktiviti penduduk dan ekonomi sehingga mampu menyaingi bandar Tanah Merah.
Bagaimanapun, banyak perniagaan dan penduduk berpindah keluar selepas jambatan itu dikhususkan kepada laluan kereta api.
Seorang penduduk tempatan, Mohd. Syafik Abdul Rahman, 37, berkata, keadaan di kawasan itu kembali meriah sejak Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) memulihara jambatan itu sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, Jambatan Guillemard dikenali semula dalam kalangan orang muda dan ramai pelawat mula bertandang untuk menyaksikan panorama unik yang tiada di lokasi lain di Kelantan.
Katanya, pemandangan jambatan dari tebing Kusial Bharu dan suasana taman rekreasi yang dibangunkan menggamit pelawat yang datang semata-mata ingin menghayati suasana di situ.
“Peniaga-peniaga juga dilihat mula kembali ke kawasan itu terutama pengusaha gerai makanan, penjaja makanan ringan dan trak makanan.
“Persatuan Anak-Anak Kusial juga mengadakan aktiviti di kawasan itu sejak 3 Jun lalu sempena sambutan ambang 100 tahun Jambatan Guillemard,” ujarnya.
Mohd. Syafik memberitahu, acara Guillemard Railway Bridge International Fun Run turut diadakan esok (19 Julai) yang diselitkan dengan majlis peletakan batu asas monumen.
Dalam pada itu, seorang peniaga makanan, Hamidah Ismail, 55, memberitahu, pembangunan yang dilaksanakan di sekitar Jambatan Guillemard berjaya menggamit kehadiran pengunjung.

Menurutnya, Kusial Bharu sebelum ini sepi apabila hanya pasangan pengantin baharu yang hadir untuk merakam gambar kenangan mereka berlatarbelakangkan jambatan itu.
Katanya, perubahan drastik berlaku apabila Taman Guillemard yang dibangunkan bersandarkan sejarah kereta api menjadi daya penarik untuk bersantai bersama keluarga.
“Jambatan ini menjadi ikon kepada pelancongan di Kelantan apabila ramai yang hadir sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024.
“Perniagaan yang diusahakan penduduk juga semakin laris berbanding sebelumnya,” katanya yang menjual mi celup dan kuih-muih tradisional sejak 30 tahun lalu.
Hamidah berkata, sebelum ini, hanya dua buah kedai masakan panas yang ada di kawasan itu.
Kini, di sekitar Jambatan Guillemard mula sibuk apabila pelbagai jenis jualan disediakan.
Menurutnya, antara manfaat yang dinikmati penduduk setempat pada masa akan datang iaitu perniagaan kraf tangan tradisional dan perkhidmatan inap desa.
Terbaharu, Kerajaan Negeri Kelantan sedang dalam proses mencadangkan Jambatan Guillemard diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak sejarah warisan dunia.
Dalam pada itu, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, kerajaan negeri menyokong dan membantu usaha yang dilaksanakan MDTM yang menjurus kepada pembangunan pelancongan sejarah di Kelantan.
Menurutnya, langkah yang diambil MDTM bersama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Aset Kereta api (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) seiring dengan usaha kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Kelantan 2024.
“Lokasi ini akan menggamit kehadiran pelancong domestik dan luar negara menerusi promosi yang dilaksanakan oleh agensi pelancongan serta pelbagai media cetak dan elektronik,” katanya.













