SUDAH tiga tahun anak lelaki Jin Young-hae yang ketika ini berusia 24 tahun mengasingkan diri di bilik tidurnya.
Sepanjang membesar, anaknya itu sentiasa menunjukkan potensi besar dalam pelbagai aspek.
Oleh itu, dia dan suaminya sering meletakkan harapan tinggi kepada anak kesayangan mereka.
Namun, anaknya mudah jatuh sakit, tidak pandai bergaul, mengalami gangguan pemakanan sehingga menyukarkannya ke sekolah.
Apabila anaknya mula belajar di universiti, dia hanya bertahan selama satu penggal sebelum berhenti belajar.
Sejak itu, anaknya hanya berkurung di dalam bilik, mengabaikan kebersihan diri dan tidak menjaga pemakanan.
Kemungkinan anaknya kecewa kerana tidak diterima masuk ke universiti terkemuka. Namun, tiada siapa tahu sebab sebenar kerana anaknya enggan berkongsi.
Menurut Young-hae, sejak tiba di Happiness Factory, dia menghabiskan masa membaca nota-nota yang ditinggalkan oleh orang muda yang memiliki kondisi sama seperti anaknya.
“Saya tertanya-tanya apa kesilapan kami sebagai ibu bapa sehingga dia jadi begitu.
“Setelah membaca nota-nota di Happiness Factory, saya sedar yang anak saya sebenarnya sedang melindungi dirinya.
“Dia rasa tiada siapa mampu memahami dilema yang dialaminya, jadi dia mengasingkan diri daripada semua orang,” katanya.
Individu yang mengasingkan diri sepenuhnya daripada masyarakat umum dipanggil sebagai hikikomori, istilah yang dicipta di Jepun pada 1990-an.
Tahun lalu, tinjauan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan terhadap 15,000 orang berumur 19 hingga 34 tahun mendapati, lebih daripada 5 peratus responden sedang mengasingkan diri.
Jika mewakili populasi di Korea Selatan, ini bermakna kira-kira 540,000 orang berada dalam situasi itu.
Sejak April lalu, ibu bapa di Korea Selatan telah mengambil bahagian dalam program pendidikan selama 13 minggu yang dibiayai dan dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Belia Korea dan Pusat Pemulihan Paus Biru.
Matlamat program itu adalah untuk mengajar orang ramai cara berkomunikasi lebih baik dengan anak-anak mereka.

Program berkenaan termasuk tinggal selama tiga hari di sebuah tempat di Hongcheon-gun, Wilayah Gangwon dengan peserta perlu menghabiskan masa di dalam bilik menyerupai sel kurungan bersendirian.
Tujuan program bernama Happiness Factory itu adalah untuk membolehkan ibu bapa memahami dengan lebih mendalam tentang anak-anak mereka.
Satu-satunya perkara yang menghubungkan setiap bilik kecil di Happiness Factory ke dunia luar adalah lubang makan di pintu.
Tiada telefon atau komputer riba dibenarkan di dalam sel sebesar almari kedai itu dan penghuninya hanya ditemani dinding kosong.
Penghuni perlu memakai pakaian seragam penjara berwarna biru sebagai simbolik kepada rasa terpenjara.
Sementara itu, Park Han-sil (bukan nama sebenar) menyertai Happiness Factory untuk memahami anak lelakinya yang berusia 26 tahun.
Setelah beberapa kali melarikan diri dari rumah, anaknya kini jarang keluar dari bilik.
Anaknya juga sudah memutuskan semua cabang komunikasi dengan dunia luar sejak tujuh tahun lalu.
Han-sil telah membawa anaknya berjumpa kaunselor dan doktor, namun dia enggan mengambil ubat kesihatan mental seperti diarahkan.
Lebih teruk, anaknya taksub bermain permainan video sepanjang hari.
Walaupun Han-sil masih bergelut untuk berhubung dengan anaknya, namun dia mula memahami perasaan itu melalui program pengasingan tersebut.
“Saya sedar kepentingan untuk menerima kehidupan anak saya seadanya.
“Saya tidak perlu memaksanya untuk bergerak ke dalam acuan tertentu,” katanya.
Penyelidikan oleh Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan menunjukkan bahawa terdapat pelbagai faktor yang mendorong golongan muda mengasingkan diri.
Menurut tinjauan kementerian ke atas mereka yang berumur 19 hingga 34 tahun, sebab paling biasa adalah kesukaran mencari pekerjaan (24.1 peratus), isu hubungan interpersonal (23.5 peratus), masalah keluarga (12.4 peratus) dan masalah kesihatan (12.4 peratus).
Korea Selatan memiliki kadar bunuh diri tertinggi di dunia. Pada tahun lepas, pihak kerajaan melancarkan rancangan lima tahun yang bertujuan menangani isu berkenaan.
Menteri berkaitan telah mengumumkan akan ada pemeriksaan kesihatan mental secara berkala yang dibiayai oleh kerajaan kepada individu berumur 20 hingga 34 tahun.
Professor di Jabatan Sosiologi Universiti Kyung Hee, Jeong Go-woon berkata, masyarakat Korea Selatan memiliki jangkaan pencapaian yang perlu dicapai oleh seseorang pada masa tertentu.
Perkara itu meningkatkan kebimbangan golongan muda, terutamanya pada waktu kemerosotan ekonomi dan peningkatan tahap pengangguran.
Pandangan bahawa pencapaian anak-anak adalah kejayaan ibu bapa dalam menyumbang sesuatu kepada seluruh keluarga.
Ramai ibu bapa menganggap masalah yang dialami anak mereka sebagai kegagalan diri memberi didikan.
Ujarnya, perkara itu membawa kepada rasa bersalah yang tinggi dalam diri ibu bapa.
“Di Korea Selatan, ibu bapa sering meluahkan kasih sayang serta perasaan mereka melalui tindakan dan bukannya ekspresi lisan.
“Ibu bapa membiayai yuran pengajian anak-anak mereka melalui kerja keras.
“Ia contoh tipikal budaya Confucian yang menekankan tanggungjawab.
“Oleh itu, anak-anak di negara ini sukar merasakan keserasian emosi terhadap ibu bapa mereka,” ujarnya.















