fbpx
Gambar hiasan

Lariskan jualan jangan sampai ‘jual badan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AGAMA Islam menggalakkan perniagaan supaya dapat memakmurkan dunia dan mampu menjana kekuatan ekonomi mereka selain boleh berbuat kebajikan dengan segala punca keuntungan.

Perlu diakui, dalam dunia yang membangun seiring pesatnya teknologi, ramai peniaga mengambil peluang untuk meluaskan perniagaan mereka melalui platform digital dengan menggunakan pelbagai teknik pemasaran.

Segelintir peniaga mungkin selesa melariskan barang dijual dengan mempamerkan kualiti produk berbanding memancing penonton dengan konten ‘bukan-bukan’ yang bakal mengundang kata nista khalayak.

Namun, terdapat segelintir peniaga memilih untuk ‘belanja’ badan demi menarik perhatian khalayak yang turut sama ‘kehausan’ hiburan.

Meskipun peniaga akan menyangkal bahawa tindakan tersebut bukanlah niat sebenar mereka untuk melariskan barang dijual, namun apa yang penulis ingin tegaskan, khalayak tidak buta dan tidak jahil untuk melihat semua itu.

Penulis faham, ada antara peniaga menggunakan promosi berlebihan agar produk yang ingin dijual lebih ke hadapan selain dikenali lebih cepat.

Menjunjung prinsip ‘bad marketing is still marketing’, asalkan produk dijual licin dibeli, barangkali itu sudah memadai bagi segelintir peniaga. Tidak mengapa, itu hak mereka.

Namun, hakikat hidup berpandukan adab dan agama, keberkatan dalam segenap punca pendapatan yang dijana hasil daripada larisnya produk dek strategi pemasaran murah itu lantas menjadi timbang tara untuk dipersoalkan.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, berniaga adalah pekerjaan yang sangat bagus dan tiada masalah untuk mereka mempromosikan atau membantu melariskan produk tertentu.

Bagaimanapun katanya, peniaga hendaklah berpada-pada serta tidak berlebih-lebihan dalam mempromosi sesuatu produk termasuk dalam perkara yang dilarang dalam Islam.

“Pada asalnya hukum mempromosi barang atau produk adalah harus, malah boleh jadi sunat jika disertai niat membantu pembeli dengan maklumat yang jelas tentang barang atau perkhidmatan ditawarkan.

“Tetapi perkara baik tidak wajar dicampur aduk dengan haram dan berdosa, jika cara mempromosikan sesuatu produk melebihi batas sehingga mendedahkan aurat seperti menayang bentuk badan, tentu sahaja berdosa.

“Peniaga baik lelaki mahupun wanita, masing-masing mestilah menjaga perilaku diri agar tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan tohmahan serta mencemarkan maruah, imej dan kesucian agama dianuti,” katanya.

Kata Wan Salim, selain keuntungan dikejar dalam perniagaan, sudut pandang keberkatan dalam berniaga juga perlu diambil kira.

“Perkara ini tidak kompleks, jika menjual produk dengan mempromosikan unsur-unsur yang dapat mendorong kepada benda tidak baik, sudah tentu Allah tidak akan memberkati pendapatan tersebut apatah lagi disertai elemen-elemen yang haram.

“Bila tiada barakah maka pendapatan yang dihasilkan tidak memberi manfaat kepada seseorang selain ia tidak memberi keselesaan jua ketenangan ke atas kehidupannya,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN