KEJAYAAN merangkul gelaran juara pada pertandingan Super 24 di Singapore Indoor Stadium pada tahun lalu ternyata hanyalah permulaan bagi kumpulan tari Zeppo Youngsterz.
Kemampuan kru tarian menggabungkan gerak tari hip-hop dan tarian kuda kepang membuktikan kumpulan anak muda itu memiliki cara tersendiri dalam melestarikan warisan turun-temurun.
Namun, bakat mereka tidak terhenti di situ sahaja, malah kumpulan itu mampu membuat persembahan kontemporari bersifat penceritaan dengan mesej tersirat.
Ini terbukti apabila Zeppo Youngsterz turut bergelar juara pertandingan Body Rock 2023 di San Diego, Amerika Syarikat pada Jun tahun lalu.
Sejak itu, pelbagai tawaran persembahan dan kolaborasi diterima oleh kumpulan tersebut termasuk untuk Petronas Malaysian MotoGP 2023 dan Battleground Malaysia: Road to Gold.
Bahkan, kumpulan tari yang disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan itu turut ditaja Malaysia Airlines ketika ke pertandingan Tarian Haru 2023 di Korea Selatan.
Menurut pengarah pasukan, Faris Azim Abd. Karim, Zeppo Youngsterz bermula dengan impian empat orang kanak-kanak yang memiliki minat mendalam terhadap bidang tarian.
Tidak menerima sebarang pengajian tarian yang formal, dua pasangan adik-beradik tersebut menyertai pertandingan tarian pada Hari Belia dan Sukan 2011.
Semenjak itu, mereka terus aktif bertanding di kejohanan tarian tempatan dan luar negara sebagai pendedahan kepada dunia tarian.
Dari situ, mereka mula mempelajari dan memahami adat resam dalam dunia tarian yang menjadi ilmu berharga kepada mereka sehingga kini.
Lama-kelamaan, keahlian pasukan tarian hip-hop itu semakin bertambah apabila ramai bakat daripada pelbagai latar belakang mula menyertai mereka.
Antaranya adalah bekas pelajar Genius Seni Tari yang memiliki kemahiran menari tarian tradisional.
Bermula dari situ, lelaki berusia 26 tahun itu mendapat ilham untuk menggabungkan elemen tarian hip-hop bersama tarian tradisional.

“Sepanjang pengalaman saya bertanding dan menonton persembahan di luar negara, saya perasan keunikan penerapan elemen fusion dalam satu-satu karya tarian.
“Oleh itu, apabila ada bakat baharu yang memiliki kemahiran tarian tradisional sertai kami, saya terus bereksperimen dengan gabungan fusion tersebut.
“Sebenarnya tidak mudah kerana dua jenis tarian ini memiliki lenggok berbeza.
“Namun, kami berazam untuk merealisasikan perkara tersebut,” katanya kepada K2.
Untuk pengetahuan, Zeppo Youngsterz kini memiliki seramai 17 ahli elit yang terdiri daripada 16 lelaki dan seorang perempuan.
Mereka juga memiliki sub kumpulan perempuan dengan 12 ahli yang dipanggil sebagai Zeppo Sestra.
Selain itu, Zeppo Youngsterz turut memiliki ahli tidak tetap yang menjadi sebahagian daripada komuniti tarian mereka.
Bergantung kepada jenis pertandingan, Faris Azim akan memilih ahli dengan jumlah sesuai mengikut koreografi yang ingin dipersembahkan.
Sebagai contoh, ketika pertandingan Super 24, seramai 24 ahli dipilih untuk membawa nama negara di persada antarabangsa.
Kebanyakan ahli kumpulan itu memiliki kerjaya profesional masing-masing, jadi mereka hanya boleh melakukan latihan pada waktu malam.
Selain kuda kepang, kumpulan tersebut memiliki tiga lagi tarian fusion hip-hop tradisional iaitu silat, tarian buluh dan satu lagi akan didedahkan pada Ogos nanti.
Tambah Faris Azim, dia sering merancang formasi tarian menggunakan buah mahjong serta melakar kostum tarian kumpulannya sendiri.
“Secara purata, kami mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk melakukan persediaan termasuk koreografi dan kostum bagi satu-satu pertandingan besar.
“Dalam pertandingan, kesemua elemen ini perlu harmoni agar dapat memberikan impak penyampaian yang berkesan. Keunikan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dan etnik menjadikan inspirasi seni tari lebih banyak dan kami teruja untuk terus menerokainya,” jelasnya.
Selain tarian, Zeppo Youngsterz juga sedang berjinak-jinak meluaskan cabang mereka dengan membuka saluran media sosial sendiri.
Di bawah nama Zy. prod di Instagram dan The Zeppo Youngsterz di YouTube, pelbagai aktiviti dan perkembangan kru tarian dikongsi kepada peminat.
Pada April lalu, mereka menerbitkan satu video tarian diiringi muzik Ingin Pulang yang dipopularkan oleh penyanyi tempatan, Amir Jahari.
Ketua pasukan produksi, Muhammad Izzuddin Mohtar berkata, media sosial merupakan salah satu platform yang mampu meningkatkan lagi kebolehpasaran pasukan berkenaan.
“Kami mahu ada pasukan in house tersendiri. Ini bermaksud, kami tidak hanya bergantung kepada kepakaran luar untuk mempromosikan pasukan.
“Jadi, saya belajar selok-belok produksi seperti sudut-sudut yang mampu memberikan gambaran visual terbaik,” katanya.














