KULIM – Gangguan monyet di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini sudah berlanjutan sejak setahun lalu hingga membuatkan lebih 3,000 penduduk terancam dan kerugian akibat tanaman di kebun rosak.
Penduduk mendakwa, jumlah haiwan itu semakin bertambah dan merunsingkan melibatkan empat buah kampung lagi iaitu Kampung Petani, Padang Patong, Bikan dan Bikan Atas.
Pengerusi Majlis Ketua Kampung Padang Ubi, Padang Patong dan Petani, Inche Borhan Ahmad, 57, berkata, aduan kerap diterima daripada penduduk melibatkan ancaman monyet, anjing liar dan babi hutan.
“Kita telah adukan kepada pejabat daerah dan berharap ia diselesaikan segera. Selain rosakkan tanaman, monyet turut masuk dalam rumah.
“Penduduk ambil tindakan sendiri halau haiwan dengan membakar mercun atau pasang sangkar. Bagaimanapun, kes meletak racun dalam keropok merupakan kes pertama yang saya tahu di sini,” katanya.
Bagi Fazil Bidin, 54, pula, banyak buah seperti cempedak dirosakkan monyet selain ia mematahkan pelepah kelapa sawit.
“Sayang tengok buah cempedak yang sudah masak dirosakkan monyet. Ia sukar dikawal dan bimbang akan jadi lebih serius,” kata lelaki itu.
Suhaila Sahat, 47, pula memberitahu, ada kes kanak-kanak perempuan cedera apabila kakinya digigit monyet.
“Nasib baik dia memakai kasut ketika itu, jadi kecederaan tidak serius,” katanya.














