PETALING JAYA – Tindakan ibu bapa yang mempunyai sifat ‘in denial’ (penafian) terhadap anak yang didiagnosis austisme bukan sahaja boleh menjejaskan kehidupan harian anak-anak, malah turut memberi kesan buruk kepada perkembangan mental golongan tersebut.
Berkongsi pengalaman itu, seorang ibu, Nurbaya Hamsan, 46, mengakui pernah melalui detik sukar hanya kerana sikapnya yang pentingkan diri sehingga anak sulungnya menjadi mangsa buli dan dipanggil gila oleh rakan sekelas.
Suri rumah itu berkata, dia pada awalnya tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya itu disahkan mempunyai ciri-ciri autisme sehingga bertindak menghantar Dzarif ke sebuah sekolah swasta aliran perdana ketika kanak-kanak itu masuk darjah satu.
“Itu kesilapan terbesar yang saya lakukan kerana walaupun dia sudah didiagnosis sebagai autistik ketika berumur lima tahun, saya tetap menghantarnya ke sekolah biasa.
“Tindakan itu juga menjadi mimpi ngeri apabila Dzarif mula menjadi mangsa buli di sekolah dan pernah dipanggil gila oleh rakan-rakan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah wanita itu, keputusannya untuk menghantar anaknya itu adalah supaya Dzarif dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.
“Sebenarnya, ia berkisar tentang apa yang saya mahu, bukan apa yang anak saya perlukan?
“Dzarif tidak ada masalah dalam pelajaran sepanjang berada dalam darjah satu, tapi kawan-kawan panggil dia gila hampir setiap hari, malah pernah dibuli berkumpulan sampai tahap seluarnya ditarik.
“Dia juga pernah larikan diri sebab terlampau takut, menyorok dalam tandas sampai pemandu van dan ayah dia cari pun tidak jumpa,” ujarnya.
Keadaan itu katanya, menyebabkan emosi Dzarif terganggu dan banyak perubahan dikesan termasuklah sikap anaknya yang bertukar daripada seorang yang ceria menjadi kanak-kanak pemarah.
“Sampai masa ia bukan lagi tentang apa yang saya mahu, tetapi apa Dzarif perlukan. Saya tukarkan dia ke program pendidikan khas integrasi (PPKI) di sebuah sekolah di Kuala Lumpur,” tambahnya.
Bagaimanapun, cabaran Nurbaya tidak berakhir di situ apabila dia masih lagi berada di fasa ‘in denial’ apabila enggan mendaftar kad orang kelainan upaya (OKU) buat Dzarif.
Katanya, dia masih tidak berbuat demikian walaupun sudah dua tahun Dzarif disahkan autistik kerana ia umpama ‘mengesahkan’ anaknya OKU dengan adanya kad berkenaan.
“Ceteknya ilmu dan pemikiran saya ketika itu. Tapi disebabkan saya mahu yang terbaik untuk Dzarif, saya terima nasihat pakar, rakan-rakan dan guru PPKI yang saya kenali.
“Alhamdulillah, rezeki Dzarif di sekolah dan persekitaran yang agak positif di mana tiada kejadian negatif seperti dialaminya sebelum ini sehinggalah dia ke sekolah menengah” luahnya.
Katanya, Dzarif yang kini berusia 19 tahun bagaimanapun terpaksa menamatkan persekolahan lebih awal iaitu pada tahun lalu kerana masalah sukar bergaul dengan rakan-rakan lain.
“Apapun, saya bangga kerana dia mampu menjana pendapatan sendiri dengan menjahit.
“Dzarif kini berkerja dari rumah, sambung kemahiran menjahit yang dipelajari di sekolah menengah sebelum ini dengan menjahit beg, bekas pensil, sejadah, keychain (rantai kunci) dan lain-lain.
“Sebagai pemegang kad OKU, dia layak terima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) yang membantu remaja seperti Dzarif belajar berdikari dan uruskan diri,” kongsinya.
Dalam pada itu, Nurbaya turut berpesan kepada ibu bapa yang masih berada dalam fasa ‘in denial’, supaya tidak berlarutan berada dalam keadaan tersebut.
“Berada di fasa ‘in denial’ adalah normal, tetapi jangan terlalu lama kerana anak kita perlu bantuan segera.
“Suami isteri harus sama-sama membantu, disertai sokongan ahli keluarga yang lain, sahabat dan juga masyarakat,” pesannya.
Seorang lagi suri rumah dikenali Fadzilah, 47, turut melalui pengalaman serupa sehingga dia mengurung anak autistiknya meskipun umur remaja itu sudah memasuki 21 tahun.
Katanya, dia tidak mahu mengambil risiko sekiranya anaknya bertindak di luar jangkaan dan boleh mengganggu atau mencederakan orang lain.
“Anak sulung saya dari kecil, sering bertindak secara hiperaktif, impulsif dan agresif. Memang sukar dikawal. Saya sampai terpaksa berhenti kerja untuk jaga dia 24 jam.
“Saya tidak izinkan dia untuk bergaul. Kalau saudara-mara atau tetamu datang, memang saya akan asingkan dia dalam bilik. Sebab itu saya kurang minat bergaul dengan orang atau ajak tetamu ke rumah.
“Kalau dia meronta dan mahu bermain, saya wajib ada disebelah dan tidak boleh terlepas langsung memerhati pergerakannya,” katanya.
Menurut Fadzilah, dia sanggup menguruskan pertukaran sekolah empat kali disebabkan pihak sekolah enggan menerima anaknya mengikuti pembelajaran di kelas aliran biasa.
“Ada yang saran saya hantar anak ke kelas pemulihan, ke pusat OKU, tetapi bagi saya itu seperti hinaan. Dan saya sendiri tidak mahu orang luar anggap anak saya berbeza dan tak layak terima pembelajaran seperti murid lain,” jelasnya.
Seorang pekerja di bahagian jualan dikenali sebagai Rina, 49, berkata, dia dan suami juga pernah berada dalam fasa penafian walaupun anak perempuannya disahkan autisme sejak berumur 18 bulan.
“Saya ‘in denial’ dalam setahun juga. Suami tidak dapat terima dan sangat mencabar untuk fahamkan dia, tapi saya tak paksa.
“Saya mula bawa anak jumpa pakar pada umurnya tiga tahun. Sekarang umur anak enam tahun dan sudah ada kad OKU dan suami juga mula terima keadaan anak kami apabila ciri-ciri autistiknya makin terserlah,” kongsinya.















