fbpx
Alvin Fortes (kanan) meraikan jaringan yang dilakukan ke atas Kuching City sebentar tadi. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

Piala FA: Selangor FC ‘selisih aib’, bangkit ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC mempamerkan semangat juang tinggi untuk mara ke pusingan separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Kuching City menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat agregat 4-4 sebentar tadi.

Pada aksi suku akhir kedua itu, skuad Gergasi Merah kendalian Nidzam Jamil membariskan kesebelasan terbaik dengan trio import, Alvin Fortes, Ronnie Fernandez dan Yohandry Orozco mengetuai jentera serangan.

Namun, pasukan tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan apabila The Cats Berjaya melebarkan kelebihan agregat kepada 3-1 selepas meraih gol menerusi Nur Shamie Iszuan pada minit ke-15.

Tersentak dengan gol tersebut, Selangor memperkemaskan serangan dan berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Ahmad Zikri Khalili pada minit ke-27.

Gol tersebut menaikkan semangat Merah Kuning apabila berjaya menyamakan kedudukan agregat menjadi 3-3 hasil penyudah Fortes pada minit ke-39.

Bersambung pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus mempamerkan corak permainan terbuka dengan melakukan asakan bertali arus ke kubu masing-masing.

Bagaimanapun, penjaga gol Selangor, Samuel Sommerville dan penjaga gol Kuching City, Shahril Sa’ari cemerlang menjaga gawang daripada dibolosi.

Ketika saingan menghampiri masa penamat, Selangor diarahkan beraksi dengan 10 pemain dengan Orozco dilayangkan kad merah ekoran kekasaran yang dilakukan selepas pengadil meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR).

Situasi tersebut tidak menghalang Selangor FC untuk menambah gol dengan Fortes sekali lagi cemerlang mencetak gol kedua peribadi pada masa kecederaan.

Namun, kegembiraan kem Gergasi Merah tidak bertahan lama apabila Kuching City Kembali menyamakan kedudukan menerusi penyudah Mohamad Alif Hasan berselang seminit kemudian untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Nasib Selangor bertambah malang apabila pemain gentian, Reziq Bani Hani dilayangkan kad merah pada masa tambahan selepas melakukan terjahan keras dengan pengadil sekali lagi melaku semakan VAR.

Pada penentuan sepakan penalti, Safuwan Baharudin, Aliff Haiqal Lau,Syahir Bashah, Aliff Izwan Yuslan dan Harith Haiqal berjaya menjaringkan gol manakala pemain import Kuching City, Yuki Tanigawa menjadi pemain tunggal yang gagal menyempurnakan sepakan penalti. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN