SKUAD hoki lelaki negara meraih pengalaman berguna dalam siri perlawanan persahabatan Jelajah Eropah selepas berjaya mencatat kemenangan kedua ke atas Belgium B kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Sarjit Singh berjaya mengatasi Belgium B menerusi kemenangan 3-2 hasil jaringan dua tonggak berpengalaman Faizal Saari dan Fitri Saari
Selepas tiga perlawanan menentang Belgium B, Faizal menjaringkan lima gol, Fitri dua manakala Azrai Aizad Abu Kamal satu gol.
“Permulaan yang baik pada perlawanan ketiga apabila pasukan berjaya mendahului 3-0, tetapi kita juga melakukan rombakan di beberapa posisi dengan meletakkan Marhan Jalil di bahagian tengah kiri.
“Secara keseluruhan tiga perlawanan yang dilalui menjadi pengalaman yang baik ketika menentang Belgium B yang membariskan pemain yang beraksi di Liga Pro. Pemain kita layak dipuji kerana berjaya mengimbangi kekuatan Belgium B,” kata Sarjit.
Pada perlawanan itu, Faizal terus menjadi peledak berbisa negara apabila menjaringkan dua gol padang pada minit pertama dan 16, manakala gol ketiga dijaringkan Fitri juga menerusi gol padang pada minit ke-29.
Kemenangan tersebut pasti melonjakkan semangat pemain negara menjelang Jerman malam ini.
“Menentang Jerman nanti, pasukan berharap dapat membuat penambahbaikan beberapa perkara seperti struktur bertahan, klinikal di hadapan gol lawan dan meningkatkan kekuatan bertahan ketika pukulan sudut,” tambahnya.














