SEATTLE – Saingan Piala Dunia 2026 memberi nilai yang cukup sentimental buat pengendali Mesir, Hossam Hassan apabila beliau membantu pasukan itu mara ke pusingan akhir Piala Dunia 1990.
Selepas empat dekad, penjaring terbanyak sepanjang zaman Mesir itu kini membawa Mesir untuk mara ke saingan tersebut selaku jurulatih, namun Hossam mengakui sedikit terkilan apabila sambutan para peminat tidak begitu membara.
Berdasarkan prestasi 2018 serta penambahan kuota hampir sekali ganda untuk zon Afrika yang menyaksikan Mesir berjaya dianggap layak kerana nasib menyebabkan para peminat Mesir sedar bahawa pasukan mereka tidak memiliki keupayaan untuk mara lebih jauh.
Situasi itu menyebabkan Hossam bertekad untuk memastikan Mesir mencipta sejarah manis kali ini dengan memburu kemenangan pertama berdepan Belgium di Stadium Seattle awal pagi esok.
“Saya melihat cita-cita yang tinggi dalam kalangan pemain. Mereka mahu mencapai sesuatu yang lebih besar daripada apa yang pernah dicapai Mesir di Piala Dunia sebelum ini. Kami perlu mempamerkan prestasi yang lebih baik di Piala Dunia. Itulah matlamat utama saya,” katanya.
Hossam pastinya menagih ketahaman bintang sensasinya, Mohamed Salah pada perlawanan itu nanti biarpun bekas pemain Liverpool tersebut mengharungi musim yang penuh hambar tanpa sebarang piala.
Selain itu, kepantasan dan sentuhan penyudah bintang Manchester City, Omar Marmoush juga turut menjadi sandaran Mesir untuk memastikan impian Hossam berjaya direalisasikan.
“Saya percaya kepada pemain-pemain saya kerana tahap mereka sangat tinggi, sama ada Mohamed Salah, Marmoush mahupun pemain-pemain yang beraksi dalam liga Mesir. Mereka mempunyai cita-cita yang besar,” jelasnya. – AGENSI














