STUTTGART – Pengendali Sepanyol, Luis De La Fuente mengakui pasukan itu masih belum berpuas hati dengan kejayaan menyingkirkan tuan rumah, Jerman pada aksi suku akhir Euro 2024 di MHP Arena, Stuttgart awal pagi semalam.
Jaringan kemenangan dramatik menerusi Mikel Merino pada minit-minit terakhir masa tambahan menyaksikan La Roja menempah slot kelompok empat pasukan terbaik untuk bertemu Perancis awal pagi Rabu ini.
Pada aksi tersebut, Sepanyol membuka tirai jaringan menerusi Dani Olmo dan ketika mereka hampir meraihkan kemenenangan, Florian Wirtz meledak gol penyamaan pada minit ke-89 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun jaringan Merino berjaya menjulang La Roja.
“Kami sedang mencipta sejarah. Ini adalah kali perlawanan pasukan dapat meraih lima kemenangan berturut-turut dalam saingan Euro atau di Piala Dunia.
“Ini juga merupakan kali pertama kami berjaya menewaskan pasukan tuan rumah dalam kejohanan utama selepas 10 kali mencuba. Semua ini menjadi nilai tambah kepada kejayaan bersejarah yang sedang kami lalui ini.
“Kita akan melihat bagaimana ia akan berakhir nanti, tetapi pasukan ini mahu terus melangkah sejauh mungkin. Para pemain sentiasa memiliki rasa tidak puas hati, mereka tidak penat untuk bersaingan dan bekerja keras dan saya bangga memiliki mereka semua,” katanya.
Sepanyol sebelum ini sentiasa berdepan kesukaran setiap kali turun menentang pasukan tuan rumah apabila mereka tewas kepada Russia di Piala Dunia 2018 dan begitu juga pada 2002 apabila teas kepada Korea Selatan selain tunduk kepada Perancis pada final Euro 1984.
Bagaimanapun, De La Fuente mengakui tidak gembira dengan terjahan keras yang dilakukan oleh Toni Kroos terhadap bintang mudanya, Pedri yang mungkin terlepas baki saingan Euro kali ini ekoran kecederaan lutut sambil mengakui keputusan pengadil yang tepat adalah layangan kad merah.
Dalam pada itu, penjaring gol kemenangan Sepanyol, Merino mengakui sangat sentimental dengan gol berkenaan bukan sahaja kerana berjaya membawa pasukannya ke separuh akhir, tetapi mengenangkan kejayaan bapanya ketika meledak gol untuk Osasuna ketika menentang Stuttgart pada aksi Piala UEFA 1991.
“Ia menjadi jaringan terbaik saya sepanjang karier kerana ia adalah sangat penting dalam perlawanan kali ini. Ia gol pada suku akhir Euro, minit-minit akhir perlawanan dan kami memenanginya dengan gol tersebut.
Aksi separuh akhir menentang Perancis nanti mungkin menyaksikan Sepanyol berdepan kesukaran apabila mereka bukan sahaja kehilangan Pedri, tetapi dua pemain pertahanan iaitu Dani Carvajal yang dilayangkan kad merah, manakala Robin Le Normand mengutip dua kad kuning. – AGENSI














