SEMEMANGNYA mendedahkan kanak-kanak terhadap manfaat menabung dan menguruskan kewangan dengan baik sejak usia kecil cukup penting.
Begitupun, ia perlu dilakukan dengan pendekatan betul bagi menarik minat kanak-kanak memahami konsep dan topik kewangan yang mungkin dianggap agak berat buat mereka.
Menyedari keperluan didikan secara riang ini, beberapa pihak di Malaysia kini mula mencipta permainan sedemikian yang bersesuaian senario negara.
Terbaharu, syarikat penyedia insurans dan takaful, Sun Life menjalin kerjasama dengan syarikat pendidikan kewangan Wealth of Life Children bagi menghasilkan satu permainan board game (permainan berpapan) yang bertujuan meningkatkan ilmu kewangan dan insurans dalam kalangan kanak-kanak.

di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Permainan InsureLit: Earn, Save and Protect (InsureLit: Pendapatan, Simpanan dan Perlindungan) yang dilancarkan minggu lalu merupakan satu permainan bersifat interaktif bertujuan memberi pemahaman tentang kepentingan mengurus kewangan dengan betul secara lebih fun.
Board game merupakan sejenis permainan yang mempunyai banyak komponen dan beberapa peraturan yang perlu diikuti. Ia dimainkan oleh beberapa orang pemain dengan kaedah melemparkan dadu secara bergilir-gilir.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Sun Life Malaysia, Raymond Lew berkongsi, beliau percaya bahawa cara terbaik memperkasa keterjaminan kewangan seseorang adalah bermula daripada peringkat kanak-kanak.
“Menerusi permainan ini, kami berusaha menjadikan proses mempelajari ilmu kewangan lebih menarik, interaktif dan menyeronokkan bagi kanak-kanak.
“Kami berharap kanak-kanak akan mendapat pemahaman lebih mendalam tentang konsep ‘pendapatan, simpanan dan perlindungan’ daripada board game ini, selain menimba ilmu perancangan kewangan dengan cara yang mudah dipelajari dan berkaitan dengan mereka,” katanya.
Permainan InsureLit direka untuk memperkasa kanak-kanak berumur sembilan tahun dan ke atas dengan prinsip-prinsip asas memperoleh pendapatan, menyimpan dan melindungi wang mereka sambil menyemai nilai-nilai integriti.
Boleh dimainkan sehingga empat pemain, panduan bagi permainan itu juga didatangkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, dengan arahan yang mudah difahami.
Setiap pemain akan diberikan wang permulaan bernilai RM700 dan sebelum memulakan permainan, mereka boleh gunakan wang yang ada itu untuk beli pelan perlindungan insurans berharga RM100 atau kad bank bernilai RM200.
Dalam permainan itu, para pemain seterusnya akan memulakan pengembaraan kewangan serta mengharungi pelbagai cabaran kewangan dan dilema yang menyerupai senario kehidupan sebenar seperti terpaksa membayar bil rawatan di hospital, kerosakan barangan peribadi seperti basikal selain didedahkan mengenai kenaikan harga barang dengan cara yang interaktif dan menyeronokkan serta mudah difahami.
Daripada usaha memperoleh pendapatan, menyimpan dan melindungi kepada mengambil tindakan yang betul, permainan itu juga mengajar kanak-kanak pelbagai cara untuk menjana wang seperti menerusi kerja suruhan misalnya menyanyi untuk memperoleh RM100, melakukan kerja seperti menjual karipap untuk menerima bayaran upah dan pilihan untuk menyimpan wang di dalam bank.
Bahkan, mereka juga belajar kepentingan menabung untuk memenuhi keperluan dan matlamat masa depan serta strategi simpanan asas seperti berbelanja secara berhemat dan membina dana kecemasan.
Permainan itu juga memperkenalkan konsep pengurusan risiko dan strategi untuk melindungi simpanan daripada kejadian tidak diduga seperti kecurian, kemalangan, penipuan dan bencana alam.
Kanak-kanak boleh bermain sambil membangunkan kesedaran etika dan kemahiran pemikiran kritikal serta dalam masa sama menangani dilema moral dan belajar membuat keputusan berasaskan prinsip yang membawa manfaat kepada diri mereka dan masyarakat.
Ketua Pegawai Pembimbing dan Jurulatih Pakar Wealth of Life Children yang juga merupakan pereka permainan InsureLit iaitu Adeline Ten berkongsi, permainan tersebut direka berasaskan senario sebenar kehidupan bagi membina pemahaman kanak-kanak tentang kewangan.
“Konsep permainan ini adalah berasaskan senario dan pengalaman dunia sebenar dalam kewangan dan juga kehidupan dan tingkah laku kanak-kanak terhadap wang.
“Kami sedar kaedah yang interaktif dan menarik diperlukan untuk mengajar kanak-kanak tentang konsep-konsep kewangan ini dan betapa pentingnya membuat keputusan beretika apabila membabitkan pengurusan wang.
“Menerusi permainan ini, kanak-kanak juga boleh belajar tentang kesan keputusan yang dibuat oleh mereka dalam permainan dengan cara yang menarik dan bermanfaat,” kata Ten.

Tambahnya, biarpun dia tidak mempunyai data terperinci tentang keberkesanan permainan sedemikian terhadap perkembangan otak kanak-kanak, namun selepas mencuba permainan tersebut bersama sekumpulan kanak-kanak, Ten dapati kanak-kanak mampu memahami konsep permainan dan kepentingan perlindungan insurans dalam tempoh yang pantas.
“Pada peringkat permulaan, kanak-kanak tidak memahami kepentingan perlindungan insurans dan tidak mahu membeli perlindungan tersebut semasa memulakan permainan.
“Namun, apabila mereka terpaksa dimasukkan ke hospital dan perlu membayar bil hospital yang tinggi, mereka serta-merta faham konsep tersebut dan mula membuat keputusan kewangan yang betul,” katanya.
Ten menambah, senario yang diletakkan dalam permainan rekaan mereka itu juga cukup biasa dan sering dialami kebanyakan daripada kita dan oleh sebab itu ia menjadikan kanak-kanak lebih mudah faham konsep kewangan dengan amat baik.
Begitu pun, Ten mengakui proses menghasilkan permainan yang bukan sahaja menarik tetapi juga mendidik adalah sesuatu yang mencabar. Ten perlu ‘memecahkan’ konsep kewangan yang besar kepada konsep-konsep yang kecil pada tahap pemahaman kanak-kanak supaya ia mudah difahami.
“Permainan itu juga perlu seimbang, iaitu ia perlu seronok, banyak pergerakan minda yang aktif, namun dalam masa yang sama mendidik kanak-kanak,” katanya.
Sebagai usaha menggalakkan kanak-kanak celik kewangan, Sun Life Malaysia juga berganding bahu dengan MyPerintis, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan bakal membawakan permainan tersebut ke 25 sekolah rendah di Lembah Klang bermula Julai hingga Disember ini.

Sementara itu, nama seorang wanita tempatan sebelum ini tular selepas dia turut mencipta satu permainan kad untuk mendidik kanak-kanak tentang kewangan, The Money Genius.
Shin Yin yang berkongsi mengenai permainan itu di laman web syarikat The Nurts yang menjual permainan kad kanak-kanak berkata, dia telah mencipta permainan The Money Genius yang merupakan kaedah menarik untuk mendidik kanak-kanak dalam membuat keputusan bijak membabitkan kewangan sejak dari kecil.
“Dengan memperkenalkan konsep ini sejak kecil, kami percaya bahawa ia menerapkan asas untuk kesejahteraan kewangan sepanjang hayat.
“The Money Genius bukan sahaja mengajar kanak-kanak tentang nombor, tetapi ia juga membina minda tentang kewangan dan memupuk sikap positif dalam menguruskan wang,” katanya.
Menerusinya, anak-anak didedahkan dengan permainan memadankan kad berperkataan dan gambar. Anak-anak akan dapat mempelajari perkataan seperti ‘inflasi’, ‘pinjaman’, ‘utiliti’, ‘pendapatan aktif’ dan lain-lain.














