Pikap banyak digunakan untuk perniagaan kecil-kecilan.- Gambar hiasan

Tidak semua pemilik trak pikap ‘berduit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPAK penyasaran semula subsidi diesel yang diperkenalkan kerajaan sejak 10 Jun terus menghantui rakyat terutamanya bagi mereka yang menggunakan kenderaan berenjin diesel.

Perkara ini dikongsi sendiri oleh kenalan penulis yang sangat terbeban ekoran kenaikan diesel hampir 50 peratus ketika ini.

Dakwa mereka, kenderaan diesel yang digunakan itu bukan untuk tujuan peribadi, tetapi sebagai mata pencarian untuk keluarga.

Umpamanya, ada yang menggunakan trak pikap untuk memunggah hasil ladang seperti sawit dan getah serta menggunakan van panel untuk berniaga di pasar malam.

Malah, ada juga yang terpaksa menggunakan kenderaan diesel untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja kerana keadaan jalan yang tidak sesuai untuk menggunakan kenderaan biasa.

Selain harga minyak mahal, kos baik pulih kenderaan diesel dan cukai jalannya juga agak tinggi.

Mendengar rintihan itu, penulis dapat merasakan beban akibat kenaikan kos sara hidup ketika ini yang mana kebanyakannya memerlukan perbelanjaan yang lebih.

Menurut salah seorang kawan penulis dikenali Nik, 39, dia menggunakan trak pikap untuk menyara keluarga dengan mengambil upah sebagai penghantar barangan.

Nik yang tinggal di sebuah daerah di Kelantan berkata, secara purata kenderaannya menggunakan kira-kira 500 liter minyak diesel setiap bulan untuk menghantar barangan.

Katanya, bantuan Budi Madani yang diterima sebanyak RM200 tidak mencukupi untuk menampung kos tambahan yang perlu dibayar.

“Bagi jumlah minyak tersebut, saya perlu menanggung tambahan bajet sebanyak RM600 sebulan. Jika dapat trip lebih jauh dan banyak, jumlah itu makin besar.

“Ramai yang kata upah pun mahal sekiranya dapat banyak ‘trip’ yang jauh, namun mereka tidak tahu kos tersembunyi yang kami terpaksa tanggung bagi kenderaan pikap ini.

“Roadtax kami lebih mahal daripada kereta biasa. Itu belum cerita lagi soal servis dan alat ganti. Cukuplah saya katakan harga tayar kami pun sudah dua kali ganda lebih mahal dari kereta biasa,” katanya.

Cerita Nik kepada penulis lagi, orang nampak pengguna trak pikap ini ‘berduit’ tetapi hakikatnya rata-rata golongan sepertinya pendapatan hanya B40 ataupun kurang sekiranya tiada ‘job’.

Sementara itu, seorang lagi rakan penulis yang juga pemilik premis menjual kenderaan terpakai di Gombak mengakui ramai pemilik kenderaan berdiesel mula ‘downgrade’ kepada kereta bajet.

Dakwa rakan penulis itu, ramai pemilik kenderaan diesel terutamanya yang menggunakannya untuk kegunaan sendiri sudah tidak mampu ‘membela’ jentera masing-masing ekoran kenaikan harga diesel yang sangat tinggi.

“Ramai yang mula mencari kenderaan bajet dan jimat minyak seperti Perodua Myvi, Axia dan Viva,” katanya.

Jadi jelasnya di sini bahawa ramai pihak yang terkesan dengan kenaikan harga diesel sehingga ada yang sanggup ‘downgrade’ kenderaan bagi menstabilkan semula ekonomi.

Masih terngiang-ngiang kata Nik, bukan semua orang suka-suka pakai trak pikap dan bukan semua pengguna trak pikap orang ‘berduit’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN