fbpx
Penganjuran festival podcast KLPod Fest kali pertama di Malaysia baru-baru ini sudah cukup menggambarkan popularitinya yang semakin berkembang mutakhir ini.

Sebab-sebab podcast semakin jadi gaya hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN pulang dari tempat kerja ke rumah yang mengambil masa hampir satu jam setiap hari membuatkan Nur Nadrah Abdul Wahab, 27, memilih untuk mendengar siaran podcast di dalam keretanya.

Bagi ibu kepada seorang cahaya mata itu, medium tersebut sudah menjadi audio pilihannya sejak hampir dua tahun lalu bagi mengisi mindanya selepas pulang dari pejabat.

“Saya kurang gemar mendengar lagu dan lebih memilih untuk mendengar podcast apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selepas waktu bekerja.

“Topik pilihan saya juga berbeza-beza mengikut mood, adakalanya saya sukakan topik keagamaan, adakalanya saya suka mendengar bual bicara bertemakan rumah tangga atau kisah-kisah kehidupan kerana perkongsian sebegini mengisi minda saya selain membolehkan saya sentiasa mendapat maklumat baharu secara santai,” katanya kepada K2.

Barangkali ramai yang sudah kenal atau pernah mendengar tentang medium media audio baharu yang kini semakin popular iaitu podcast.

Podcast atau juga dikenali sebagai audio siar merupakan satu program digital sama ada dalam bentuk audio atau video yang dibuat dalam bentuk episod, berkisarkan satu topik tertentu.

Mereka yang mengendalikan segmen podcast itu dikenali sebagai podcaster yang biasanya mempunyai minat atau pengetahuan yang tinggi berkenaan sesuatu topik.

Ciri khas podcast yang mungkin membezakannya dengan segmen kendalian radio misalnya adalah ia bersifat lebih santai, mudah dikendalikan, perbincangan atau kupasan topik-topiknya juga lebih mendalam, selain terdapat elemen raw emotion, sebagai contoh tetamu undangan tiba-tiba menangis ketika menceritakan sesuatu yang sedih, menjadikan podcast dilihat lebih menarik.

Selain itu, podcast juga tiada siaran iklan yang mungkin boleh mengganggu fokus pendengar dan boleh diakses pada bila-bila masa.

MEDIA MULIA TV (MMTV) turut memiliki podcast yang meliputi pelbagai segmen.

Podcast merupakan medium audio paling popular di Amerika Syarikat (AS) dengan data daripada Forbes pada April lalu menunjukkan bahawa 100 juta penduduknya mendengar sekurang-kurangnya satu podcast setiap minggu, dan jumlah tersebut meningkat 31 peratus berbanding 2023.

Biarpun sudah beberapa tahun memeriahkan landskap dunia penyiaran negara, podcast bagaimanapun menjadi satu trend popular sejak kebelakangan ini, sehingga mendorong penganjuran pesta audio siar pertama negara yang berlangsung Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJ PAC) baru-baru ini.

Acara dikenali sebagai KLPod Fest 2024 itu diwujudkan susulan populariti platform itu khususnya dalam kalangan anak muda untuk mendapatkan kupasan mendalam isu-isu semasa.

Ia berjaya menghimpunkan 23 podcaster dari Malaysia dan Singapura.

Ketua Kurator Pesta Audio Siar Kuala Lumpur yang juga merupakan pengasas platform podcast Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sendiri mengakui bahawa podcast merupakan medium baharu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda untuk memperoleh sumber maklumat.

“KLPod Fest 2024 merupakan pesta audio siar pertama di Malaysia di mana kita mengendalikannya secara langsung. Tiada pihak lain yang pernah menyiarkan podcast menerusi program atau festival secara langsung seperti ini.

“Kami fikir ini adalah masa sesuai untuk menganjurkan siaran podcast secara langsung kerana podcast sudah menjadi medium popular,” katanya.

Jika di awal kemunculannya dahulu, medium podcast adalah bual bicara atau perkongsian maklumat bersifat audio semata-mata, kini ia lebih menarik apabila turut menggabungkan elemen visual yang membolehkan penonton mendengar sambil melihat sendiri wajah hos dan individu yang ditemu bual.

Elemen visual itu secara tidak langsung menjadikan pengisian podcast lebih mudah difahami dan diikuti.

Sementara itu, menurut salah seorang pengendali podcast Media Mulia TV atau MMTV, Nevelin Majil, 24, perbincangan terperinci tentang beberapa topik khusus merupakan antara tarikan yang ada pada podcast.

“Podcast MMTV mula ditubuhkan pada awal 2024 dan di dalamnya terdapat lima segmen iaitu Gewang yang berkisar tentang pemancing tempatan, Jangan Swipe menjurus segmen hiburan terkini daripada artis-artis legenda tanah air, Malam Meremang pula dikendalikan dengan kaedah menjemput tetamu untuk berkongsi kisah-kisah seram atau mistik yang pernah dialami mereka, Cakap Depan merupakan segmen borak santai tentang situasi semasa politik tanah air dan yang terakhir Chill Guys yang membincangkan tentang hiburan, gaya hidup dan filem,” katanya.

Nevelin menambah, podcast kini semakin popular dan menjadi audio pilihan kerana sifatnya yang santai dan tidak terlalu formal.

“Bagi saya, podcast semakin menjadi pilihan kerana konsepnya yang lebih relaks dan santai. Malah, ruang bicara ini juga dilihat lebih meluas dan mudah dikendalikan berbanding wawancara yang lebih formal.

“Susun atur podcast juga lebih moden dan versatil menjadikan hos dan juga tetamu lebih selesa dan tidak perlu terlalu terikat dengan konsep eksklusif atau berhati-hati,” katanya.

IZZAT HAKIMI

Susulan popularitinya, ada juga pihak beranggapan bahawa sama seperti trend-trend lain sebelum ini, podcast juga mungkin akan terkubur selepas munculnya platform baharu yang lebih trendy kelak.

Begitupun, Ketua Podcast Astro Radio, Izzat Hakimi Tajul As’ari yang mengendalikan podcast SYOK berkata, dia melihat audio siar itu sebagai sesuatu yang bersifat evergreen.

“Setiap podcast adalah bahan ilmu dan hiburan yang boleh diakses pada bila-bila masa serta memberi nilai yang berpanjangan kepada pendengar. Sama seperti buku, podcast menyediakan kandungan yang relevan dan bermakna untuk generasi akan datang.

“Saya juga percaya bahawa podcast akan terus berkembang dan menjadi sebahagian daripada ekosistem media yang lebih besar, di mana teknologi baharu akan memperkaya pengalaman pendengar tanpa menggantikan podcast sepenuhnya,” katanya.

Dek popularitinya, Izzat Hakimi juga berkata, dia melihat kemunculan podcast-podcast baharu kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Biarpun senang dengan peningkatan trend terkini dunia podcast, Izzat Hakimi mengingatkan tentang kepentingan pengisian kandungan yang bermutu dalam setiap segmen podcast.

“Kami mengambil inisiatif menjadikan podcast sebagai bahan pendidikan. Tidak kira cerita hantu, hiburan mahupun sukan, kami cuba menambah elemen pendidikan dalam setiap podcast yang dihasilkan supaya pendengar sentiasa boleh belajar sesuatu daripada podcast yang didengar dan ditonton mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN