PETALING JAYA – Jualan durian pada harga murah serendah RM12 sekilogram mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar raja buah itu.
Tinjauan Kosmo! di tapak penjualan buah durian sekitar Ara Damansara, di sini mendapati, beberapa peniaga menjual pada harga murah bagi menarik pelanggan dan
tindakan itu berbaloi apabila ramai yang singgah untuk mendapatkan raja buah itu.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Nizam, 56, berkata, durian yang dijual pada harga RM12 sekilogram adalah jenis kampung diperoleh dari Bukit Gantang, Perak.
Katanya, dia dan kawannya menjual durian kampung kerana kos bagi mendapatkan bekalan durian tersebut lebih murah berbanding varieti lain seperti musang king dan D24.
Ujarnya, bagi buah durian kampung gred A pula dijual pada harga RM20 sekilogram.
“Kami menjual buah ini pada harga lebih murah kerana durian kampung sering mendapat permintaan tinggi.
“Orang ramai mencari durian jenis itu walaupun pada pukul 1.30 pagi,” ujarnya di sini semalam.
Seorang lagi penjual durian yang mahu dikenali Saiful, 39, berkata, dia menjual durian kampung yang dibawa dari Batu Kurau, Taiping, Perak pada harga RM15 sekilogram.
Katanya, dia telah berniaga di kawasan itu pada setiap tahun dan mendapat sambutan hangat daripada penduduk di sekitar kawasan tersebut.
Sementara itu, seorang penggemar durian, Muhammad Aminnudin Lokman Hakim, 24, berkata, dia membeli buah tersebut kerana harganya yang murah jika dibandingkan dengan harga sebelum ini yang agak mahal.
“Saya datang membeli buah durian ini kerana harganya murah dan seperti mana yang kita tahu harganya berubah ikut musim. Saya terkejut harga yang dijual di sini murah,” katanya.














