fbpx
AZREL Ismail berasakan dirinya mangsa pilih kasih stesen televisyen lantaran pernah langsung tiada tawaran lakonan.

Azrel Ismail tak laku berlakon laris cara lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENUH mengukir nama, saat lebih sedekad dalam industri, pelakon Azrel Ismail berasakan dirinya  mangsa pilih kasih stesen televisyen. Semua itiu berpunca daripada kekerapan namanya digugurkan daripada projek-projek drama bersiri mahupun telefilem pada saat akhir. 

Jika dahulu wajahnya kerap mengisi slot drama, kini situasinya tidak lagi serupa. Selain nasib yang menimpanya ada kaitan dengan ‘pucuk muda’, Azrel bagaimanapun tidak mudah melatah atau menyalahkan mana-mana pihak. 

Dalam masa dia juga tidak menafikan wujud campur tangan stesen televisyen yang mengamalkan sikap ‘favouritism’ sehingga mengenepikan dirinya tanpa sedikit peluang muncul dengan naskhah baharu. 

“Sejak tahun lalu saya mula perasan pihak stesen televisyen asyik mengetengahkan pelakon sama. 

“Jika bercakap soal pengikut media sosial, saya fikir itu mustahil kerana saya sendiri mempunyai pengikut lebih sejuta dalam  sosial media. 

“Sebelum ini saya dimaklumkan ada pihak produksi yang sudah mencadangkan nama saya, tetapi kemudian nama saya digugurkan pada saat akhir. 

“Agak mustahil apabila banyak naskhah yang telah dicadangkan satu pun tidak melekat. Jika hendak kata watak tidak sesuai, agak pelik juga. 

“Tetapi saya tidak menjadikan perkara tersebut sebagai punca untuk menyerah kalah atau meninggalkan dunia lakonan,” katanya. 

BIARPUN tidak rancak berlakon, Azrel mengambil peluang untuk meraih pendapatan menerusi kerjasama dengan jenama-jenama produk komersial.

Kempen produk 

Sedar kerjaya lakonannya sedikit perlahan, Azrel percaya ada cabang rezeki lain terbentang buatnya. Sehingga kini, sudah banyak kerjasama dilakukan dengan beberapa jenama sebagai duta atau wajah kempen publisiti. 

Dengan pengaruh dan kuasa media sosial, Azrel atau nama lengkapnya Muhammad Azrel Ismail, 40, menjadikan peluang tersebut sebagai sumber pendapatan, sekali gus meneruskan kelangsungan hidup. 

“Ada satu tahap saya memang tidak banyak mendapat tawaran lakonan. Disebabkan itu saya perlu lebih kreatif untuk mencari kerja bagi menampung hidup. 

“Segalanya bermula apabila saya kerap hadir ke acara fesyen. Kemudian ada jenama produk berminat jalin kerjasama. 

“Saya seronok dengan tugas sebegitu,” ujarnya. 

Meskipun ada sebilangan kempen tidak menawarkan bayaran lumayan, Azrel tidak terlalu berkira asalkan nilai profesionalisme tidak direndahkan. 

“Ada juga yang tidak mengenakan bayaran. Tetapi, mereka akan memberikan saya barangan kosmetik, beg atau pakaian bernilai sebagai ganjaran.

“Saya selesa kerja begini, tetapi sebagai pelakon saya tetap ingin meneruskan kerjaya lakonan kerana memang itu minat dan keinginan sebagai anak seni,” kata pelakon drama rantaian Melastik Ke Hatimu itu.

AZREL mengakui terkesan apabila ada pihak stesen televisyen yang mengamalkan sikap pilih kasih dalam membuat keputusan pemilihan pelakon slot drama.

Balas komen peminat 

Demi melancarkan urusan kempen produk, Azrel akan memastikan dia fokus terhadap kandungan yang akan dikongsikan di media sosial. Baginya laman digital itu sudah dianggap sebagai cerminan yang dijadikan sebagai profil. 

Bukan sahaja menitikberatkan soal penampian, Azrel juga menjaga rapi perkongsian media sosial agar imejnya seiring produk yang dipromosi. 

“Media sosial pada saya seperti portfolio atau resume untuk kita maklumkan kepada mereka mengenai aktiviti yang dilakukan. Saya juga menggunakan medium itu sebagai tempat untuk berkongsi semangat positif kepada pengikut. 

“Mungkin sesetengah orang menggunakan media sosial sebagai tempat meluahkan perasaan atau tempat berkongsikan kisah peribadi, tetapi tidak untuk saya,” katanya.

Pendekatan sedemikian bagaimanapun tidak bermakna Azrel memandang rendah sokongan peminat. 

Kata Azrel dia tetap akan meluangkan masa untuk membalas komen peminat meskipun sibuk dengan jadual kerja. 

“Memang saya tidak mempamerkan hal peribadi, tetapi pada saya sosial media adalah medium yang mendekatkan saya dengan peminat. 

“Walaupun penat atau sudah lewat malam, saya tetap akan cuba untuk membalas komen kerana saya tahu perkara itu sangat bermakna buat mereka. 

“Mungkin ada yang mengatakan komen itu dibalas orang lain seperti pembantu peribadi, tapi sebenarnya itu saya. Saya sendiri yang membalas,” katanya seraya tersenyum. 

SEBAGAI sahabat baik Ruhainies, Azrel sebenarnya berasa tidak berhak untuk menyibuk dalam kontroversi yang melanda pelakon genit itu.

Sahabat Ruhainies 

Perbualan dengan aktor tampan itu kemudian beralih arah persahabatannya dengan artis yang barangkali paling dibenci ketika ini, Ruhainies. 

Sejak awal tahun lalu, nama Ruhainies tidak henti-henti menjadi bualan khalayak termasuk dalam kalangan selebriti sendiri. 

Sebagai sahabat, Azrel enggan ambil pusing apabila ada segelintir yang begitu mudah menjatuh hukum kepada sahabatnya itu. 

Dia tidak pernah mempersoalkan tentang isu panas tatkala bersua muka dengan Ruhainies sebalik senang mengambil pendekatan tidak sibuk hal dalam kain orang.

“Saya dengan dia sudah berkawan lama. Kami ada berjumpa dan makan bersama. 

“Saya juga sudah mengenali ahli keluarganya dan kami memang tiada masalah. Apa yang berlaku itu adalah hal peribadinya dan saya sebagai orang luar tidak perlu campur. 

“Saya dan Ruhainies memang rapat, tetapi saya tiada hak untuk bertanya hal itu. Walau apa pun terjadi itu urusan dia dengan Tuhan dan saya tidak boleh menilai dia berdasarkan perkara itu,” ujarnya. 

Pernah digosipkan bercinta dengan bintang Terjerat itu sekitar 2016, Azrel juga tidak terlepas daripada menjadi kecaman apabila ‘diserang’ tentera netizen hanya kerana mengucapkan selamat hari raya dalam ruangan komen Instagram Ruhainies. 

“Sebagai kawan, normal untuk saya komen sebegitu. Tetapi, netizen sebaliknya membalas komen tersebut dengan kata-kata negatif dan mengkritik saya. 

“Boleh dikatakan mereka yang mengutuk saya itu bukanlah daripada kalangan pengikut dalam Instagram. Memang agak terkejut kerana komen begitu terlalu banyak. 

“Bagi mengelakkan perkara itu berpanjangan, saya memadam komen berkenaan dan jika ada apa yang ingin dikatakan, saya lebih senang mesej terus kepada Ruhainies,” jelas Azrel menutup kata.

Foto MUHAMMAD IQBAL ROSLI
Solekan ELMANDA ZUHAIRY
@ELMANDAZUHAIRY
Penata gaya NANA CHAH @NANA.CHAHH

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN