BENTONG – Pesta durian hanya akan bermula Julai ini, namun peminat musang king Raub rela berbelanja lebih demi menikmati buah durian pada awal musim walaupun harganya agak mahal hingga mencecah RM60 sekilogram untuk gred A.
Ketika ini, musang king daerah itu untuk gred B dan C masing-masing dijual pada harga RM41 dan RM33 sekilogram, manakala bagi durian D24 pula RM25.
Pemborong durian, Mohammad Nafri Masrom, 37, berkata, musang king Raub mula luruh sejak dua minggu lalu dan dia telah menjual hampir satu tan raja buah itu termasuk jenis D24 setiap hari.
Katanya, permintaan terlalu banyak walaupun di awal musim dan durian luruh masih kurang di kebun.
“Pekebun hanya menjual kepada pembeli biasa kerana ia terlalu eksklusif untuk awal musim seperti sekarang ini. Hanya yang kenal sahaja dapat merasanya.
“Alhamdulillah. Saya tak sangka durian Raub sentiasa mendapat tempat di hati peminat raja buah walaupun dengan harga yang agak mahal kerana masih awal musim durian gugur,” katanya ketika ditemui di Ketari di sini semalam.

Menurut Mohammad Nafri, selain pelanggan setempat, dia turut menerima tempahan daripada peminat durian di Lembah Klang termasuk belian borong.
Tambahnya, dia menjangkakan harga buah durian mula turun berbanding sekarang pada Julai ini apabila kebanyakan pokok di kebun-kebun mula luruh serentak.
“Ketika itu akan jadi pesta durian kerana buah banyak dan harga pun kompetetif. Ramai akan datang cari musang king,” katanya.
Bagaimanapun, ujar Mohammad Nafri, musang king tidak sebanyak tahun lalu kerana hampir separuh ladang di Raub tidak boleh dimasuki kerana mendapat perintah mahkamah.
Seorang lagi penjual, Alizan Haron, 43, berkata, selain Raub, musang king turut luruh di Bentong sejak dua hari lalu.
“Ketika ini saya hanya jual satu gred musang king sahaja pada harga antara RM35 hingga RM49 sekilogram. Harga akan turun bila banyak buah luruh nanti,” katanya.
Menurut Alizan, musang king boleh turun harga RM15 sekilogram pada musim lalu tetapi agak sukar pada tahun ini kerana banyak kebun tidak boleh dimasuki kerana perintah mahkamah.
Sementara itu, seorang pembeli Zaliha Abdullah, 40, berkata, dia datang ke Bentong bersama anaknya semata-mata ingin membeli durian seperti tahun sebelum ini.
“Saya mahukan durian Raub, di sini paling dekat dengan Kuala Lumpur, saya juga faham harga pada masa ini agak mahal kerana buah durian baru luruh,” ujarnya.














