fbpx
TIDAK goyang kaki, usaha Adriana Adnan untuk kekal relevan dalam industri seni selayaknya dipuji. Dia kini tampil dengan audio siar berjudul Ruang Terbuka yang mengupas isu semasa.

Adriana Adnan seronok dapat lepas ‘gian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENTIASA membumi dan perbaiki kelemahan diri. Pendekatan sebegitulah yang perlu dipraktikkan setiap anak seni yang mencari rezeki dalam dunia hiburan tanah air demi konsistensi karier.

Ungkapan itu juga yang berulang kali ditegaskan pelakon Adriana Adnan saat dilayangkan pertanyaan tentang strategi memahat nama sebagai anak seni. 

Wanita jelita yang masih melabel diri sebagai masih ‘hijau’ itu mengakui, kelana seninya sehingga detik ini bukan mudah dan sudah melepasi banyak kegagalan.

Sedekad bergelumang sebagai pemain seni, wanita berusia 28 tahun itu nyatanya tiada lelah. Pelbagai strategi diatur demi melebarkan bakat yang enggan disia-siakan.

Terus mengorak langkah menceburi segala bidang daripada pelakon sehingga pengacara, Adriana kini mengukir satu lagi pencapaian dalam kerjayanya apabila berjaya melancarkan podcast atau audio siar kendaliannya sendiri berjudul Ruang Terbuka.

MASIH aktif berlakon, Adriana bakal menjalani penggambaran drama bulan hadapan dan sudah selesai penggambaran dua filem bergenre seram.

Gian mengacara

Meskipun sudah tidak lagi bergelar pengacara yang dahulunya sinonim mengendalikan program HLive, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui obsesi dalam dunia pengacaraan masih menebal.

“Sebenarnya dah macam-macam cabang seni saya cuba, paling selesa adalah mengacara selain berlakon. 

“Saya memang dah berniat untuk teruskan karier dalam bidang pengacaraan selepas berhenti daripada HLive. Kita pula memang suka berborak dan bercakap dengan orang, jadi daripada situlah timbulnya idea untuk kendalikan Ruang Terbuka.

“Semuanya saya buat sendiri supaya segala konsep dan hala tuju perbualan saya boleh kawal. Tiada banyak kepala yang perlu saya ikut, lebih senang begitu,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya apakah keunikan audio siarnya berbanding lambakan yang lain, Adriana memberitahu sesiapa sahaja boleh menjadi tetamu Ruang Terbuka dan tidak terhad kepada selebriti atau pempengaruh sahaja.

Katanya, setiap tetamu akan membawa cerita dan pengalaman unik mereka sendiri, yang memberikan warna dan variasi kepada setiap episod. 

“Saya mahu Ruang Terbuka menjadi tempat semua orang selesa untuk berkongsi cerita mereka, tidak kira siapa mereka.

“Walaupun dah berlambak podcast lain tetapi bagi saya perkara ini adalah benda yang bagus sebab orang akan ada pilihan untuk tengok mana satu.

“Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan pelbagai pandangan dan cerita, saya mahu podcast ini menjadi satu safe space untuk semua orang berkongsi apa mereka rasa dan alami,” tuturnya panjang lebar.

Paling penting kata pelakon filem Merewang Keluarga Pak Awang itu, dia bukan sahala dapat melepaskan gian kembali mengacara apabila audio siar dilancarkan, namun dalam masa sama membuka ruang untuk tetamu berkongsi cerita lebih mendalam dan bermakna. 

Musim pertama Ruang Terbuka menampilkan tetamu-tetamu istimewa seperti Sheddy Ang, Cikgu Zizi Kirana, Liyana Jasmay, Aizat, Lisa, Hawa Ridzwana, Ahirie Ahiruddin, dan Syamimia. 

“Musim pertama sudah ada ramai selebriti dan pempengaruh, jadi untuk musim kedua nanti saya nak berikan ‘spotlight’ kepada orang biasa pula,” katanya. 

Disoal pula siapa tetamu yang menjadi senarai impiannya, anak kepada pembaca berita dan pengacara RTM, Zamzarina Zambri itu mendambakan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin atau KJ sebagai jemputan.

TIADA lelah, Adriana mengakui cintanya dalam dunia mengacara dilunaskan menerusi podcast sendiri – AFIQ RAZALI

Mahu jemput KJ

Menyifatkan lelaki tinggi, gelap dan tampan itu mempunyai karisma tersendiri, Adriana sudah lama ingin bertanyakan beberapa soalan kepada ahli politik itu selepas bertukar ‘angin’ ke bidang hiburan.

“Musim pertama Ruang Terbuka sudah selesai dirakamkan dengan beberapa senarai tetamu. Untuk musim kedua, saya nak undang KJ sebagai tetamu.

“Saya dah lama teringin nak berborak dan bertanyakan soalan tentang transisi daripada bergelar seorang ahli politik kini beralih profesion sebagai selebriti dan pempengaruh.

“Mungkin soalannya nanti lebih kepada antara ahli politik dan selebriti, yang mana satu dia rasa lebih menyeronokkan,” katanya.

Tutur Adriana lagi, kalau politik digabungkan dengan dunia hiburan, itu satu menjadi satu nilai tambah buat dunia penerbitan podcast yang kini kian berkembang sekarang.

“Saya tahu KJ ada podcast kendaliannya bersama Shahril Hamdan iaitu Keluar Sekejap. Mana tahu boleh ‘featuring’ Keluar Sekejap. Kenapa tidak kan? Kita boleh berangan-angan.

“Bercerita tetang politik dan kita gabungkan dengan show biz (dunia hiburan) pasti menarik,” ungkapnya.

ADRIANA mengakui tidak pernah malu untuk menghadiri sesi uji bakat bagi meraih peluang lakonan.

Berlakon

Sebelum menggulung bicara, Adriana sempat menyentuh sedikit tentang karier lakonannya.

Katanya, dia masih aktif berlakon bahkan sudah terlibat dalam dua filem yang akan ditayangkan tahun ini.

“Projek terbaharu saya ialah megadrama yang akan mula penggambaran bulan hadapan. 

“Dua filem sudah selesai penggambaran tunggu masa ditayangkan,” tutup Adriana. 

RUANG Terbuka mula ditayangkan sejak 23 Mac, setiap Rabu, pukul 5 petang menerusi saluran YouTube Adriana Adnan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN