BAYI berisiko menjadi golongan yang paling terkesan selepas mikroplastik dikesan mampu masuk ke dalam badan golongan itu melalui susu badan. - GAMBAR HIASAN

Ibu ‘sebar’ mikroplastik melalui susu badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kanak-kanak dan bayi berisiko menjadi kumpulan paling terkesan selepas mikroplastik dikesan mampu masuk ke dalam badan mereka melalui susu badan.

Pakar Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kesan buruk mikroplastik dalam badan adalah boleh mempe­ngaruhi ke­suburan lelaki, mengurangkan keupayaan belajar serta mengingat dan meningkatkan risiko kanser.

DR. SHARIFA EZAT

Jelasnya, kanak-kanak dan bayi merupakan golongan yang paling terkesan dengan mikroplastik, sejenis bahan pencemar yang boleh ditemui di dalam makanan serta persekitaran hasil daripada degradasi sampah berasaskan plastik.

“Kajian menunjukkan, dua golongan ini lebih berisiko di­sebabkan jisim badan mereka yang lebih rendah berbanding orang dewasa.

“Lebih membimbangkan, mikroplastik juga boleh ditemui dalam darah manusia dan boleh memasuki badan bayi melalui susu badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, disebabkan mikroplastik ini boleh mema­suki badan manusia, ia boleh menyebabkan pembuluh darah menyempit dan secara tidak langsung, meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.

Beliau mengulas laporan Jurnal Environmental Science and Technology yang mendedahkan rakyat Malaysia termakan mikroplastik hampir 15 gram setiap bulan yang memberikan implikasi kesihatan seperti risiko kanser, tahap kesuburan rendah selain menyempitkan pembuluh darah dan meningkat risiko serangan jantung dan strok.

MOHD. YUSAIMI

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, faktor terbesar pencemaran mikroplastik di Malaysia adalah berpunca penggunaan plastik sekali guna berkualiti rendah seperti cawan dan pembungkus makanan.

“Penggunaan cawan dan pinggan mang­kuk plastik yang sudah tamat tempoh seperti yang digunakan di kedai-kedai makan juga berpotensi menjadi punca rakyat Malaysia termakan mikroplastik selama ini.

“Mikroplastik juga boleh ma­suk ke dalam badan sekiranya kita makan makanan laut yang berasal dari sumber air yang tercemar dengan plastik, selain terdedah dengan pembakaran sampah kilang-kilang haram,” katanya.

ANTARA rupa mikroplastik yang dijumpai dalam ikan laut komersial.

Ujarnya, mikroplastik boleh masuk ke dalam badan manusia melalui empat cara dan yang pertama ialah melalui pemakanan.

“Sebagai contoh, mikroplastik masuk ke dalam badan jika kita minum atau makan makanan laut yang berasal dari sumber air yang tercemar dengan plastik.

“Keduanya, mikroplastik juga boleh masuk ke dalam paru-paru sekiranya dibawa melalui udara. Ini selalunya berpunca daripada pembakaran sampah dari kilang-kilang haram,” ujarnya.

Selain itu, katanya, mikroplastik bersaiz nano pula boleh ma­suk ke dalam rongga kulit me­lalui penggunaan produk skrub badan atau yang mengandungi ‘glitter’.

“Mikroplastik juga boleh di­serap ke dalam badan secara kimia jika kita menggunakan plastik seperti polistirena yang sudah tamat tempoh,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN