DALAM tempoh 24 jam 26 minit dan tanpa berhenti tidur, Phunjo Lama, 32, telah berjaya memecahkan rekod dunia pendakian terpantas ke puncak Gunung Everest oleh seorang wanita. Perjalanannya dari Kem Pangkalan
Everest ke puncak mengambil masa 14 jam 31 minit. Kemudian, dia turun dari Everest dalam tempoh 9 jam 18 minit.
Pendaki biasanya mengambil masa berhari-hari untuk sampai ke puncak gunung setinggi 8,850 meter itu dengan bermalam di kem berbeza untuk berehat dan menyesuaikan diri.
Sebaliknya, Phunjo bertolak dari kem pada pukul 3.52 petang pada 23 Mei lalu dan tiba di puncak tertinggi dunia itu pada 6.23 pagi keesokan harinya.
Malah, catatan masa dilakukan itu telah membolehkan Phunjo memperbaharui semula rekod dunia miliknya sendiri.
Pada 2018, dia memegang rekod sebagai wanita terpantas yang mendaki Everest dalam tempoh masa 39 jam enam minit.
Rekod itu kemudian dipecahkan pada 2021 oleh Ada Tsang Yin-hung dari Hong Kong yang menakluk gunung itu dalam masa 25 jam dan 50 minit.
Phunjo menjelaskan, dia berasa bangga dengan pencapaian itu dan matlamatnya adalah untuk memberitahu kepada lebih ramai wanita bahawa ‘semuanya mungkin’.
Dia juga menekankan bahawa wanita boleh mencapai apa juga tugas yang mencabar.
“Wanita perlu tahu bahawa kita juga manusia dan kita boleh mendaki gunung.
“Sesetengah lelaki berfikir sebaliknya, tetapi saya sentiasa cuba memberitahu dan meyakinkan mereka bahawa segala-galanya mungkin,” ujarnya.
Selepas memecahkan rekod, Phunjo berkata, dia telah menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai dalam komuniti pendaki gunung.
Bercerita mengenai kisah hidup, dia membesar tanpa ibu di sebuah kampung terpencil, Chhokangparo di Lembah Tsum, wilayah Manaslu di Nepal.
Phunjo kehilangan ibunya pada usia dua tahun dan sering menemani datuknya ke gunung berdekatan setinggi 5,000 meter pada zaman kanak-kanaknya.
“Gunung adalah rumah saya,” katanya.
Dia juga telah berlatih di Pergunungan Alps di Switzerland dan Himalaya.
Malah, dia merupakan penyelamat helikopter wanita pertama di Nepal dan berjaya menerima Anugerah Tenzing-Hillary.
Bagaimanapun, dia tidak peduli sama sekali tentang pencapaian dan kehebatannya.
Phunjo sedar tentang risiko mendaki gunung, jadi ada ritual kecil yang dia ikuti setiap kali meninggalkan rumah untuk ekspedisi.
Phunjo juga merupakan ibu tunggal kepada anak perempuannya yang berusia 12 tahun.
Sebelum pendakian, Phunjo memberitahu anaknya bahawa dia mungkin tidak kembali dari pergunungan hidup-hidup.
“Saya sentiasa menggalakkan dia untuk yakin dan berdikari.
“Saya memberitahunya, jika sesuatu berlaku kepada saya di gunung, dia tidak sepatutnya sedih kerana saya melakukan sesuatu yang saya suka.
“Dia memahami perkara ini dan bersedia untuk apa sahaja yang mendatang, sama ada saya kembali atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, disebabkan musim pendakian yang terhad dan keadaan mencabar di Gunung Everest, ruang untuk sampai ke puncak sangat kecil.

Setiap tahun, ada gambar menunjukkan pejalan kaki berbaris panjang untuk menunggu peluang mereka sampai ke puncak.
Kadangkala ‘kesesakan lalu lintas’ berlarutan selama berjam-jam.
Phunjo memberitahu agensi berita CNN bahawa antara 21 hingga 22 Mei lalu terdapat 6,700 orang di kem 2 dan 4.
Pada pagi 24 Mei, dia berada di belakang 60 hingga 70 orang pendaki.
“Gunung adalah taman permainan dan rumah saya.
“Sebuah gunung tidak pernah mengatakan bahawa anda seorang wanita atau anda seorang lelaki.
“Itulah sebabnya saya suka gunung, kerana gunung sentiasa sama,” katanya.
Kesaksamaan itu adalah sebahagian daripada kerjanya.
Dia yang juga merupakan seorang pemandu mendaki gunung berkata, pada masa ini, pelanggan pendakiannya 75 peratus adalah lelaki dan selebihnya perempuan.
“Saya mahu seimbangkan jumlah itu pada suatu hari nanti.
“Saya pasti impian saya akan menjadi kenyataan,” jelasnya.

Selain menawan Everest, Phunjo juga telah mendaki puncak Gunung Denali di Alaska yang merupakan gunung tertinggi di Amerika Utara.
Dia juga berharap untuk mendaki Gunung K2 di Pakistan yang merupakan puncak kedua tertinggi di dunia.
Hakikatnya, ramai tidak sedar bahawa pendakian Gunung Everest merupakan sesuatu yang berbahaya kerana pada tahun lalu, sekurang-kurangnya 18 orang maut.
Pada tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya lima orang telah meninggal dunia serta tiga hilang dan dianggap mati. Phunjo juga percaya pendaki yang cuba mendaki Everest perlu mempunyai pengalaman.
“Sebagai pemandu arah, kami sangat gembira dengan bilangan orang yang datang ke kawasan pergunungan kami.
“Bagaimanapun, pendaki perlu ada pengalaman dan latihan terbaik serta mesti memilih pemandu arah yang tepat.
“Pendaki juga perlu mempunyai pengalaman yang luas dan rasa hormat kepada gunung.
“Jika tidak, alam semula jadi akan membunuh kita pada bila-bila masa,” jelasnya.
Sementara itu, rakan pendakiannya, Maya Sherpa berkata, Phunjo sangat berani dan berlatih bersungguh-sungguh untuk ke puncak.
“Rekodnya menjadi inspirasi kepada pendaki wanita Nepal yang lain,” jelasnya sebelum menutup bicara.















