ISU pokok tumbang di kawasan bandar semakin kerap belaku sejak kebelakangan ini hingga menimbulkan buah mulut orang ramai.
Kebanyakan mereka menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan berikutan situasi itu merupakan petaka yang tidak diundang.
Meskipun kewujudan pokok merupakan sebahagian daripada landskap untuk mengindahkan kawasan bandar, namun isu itu telah menimbulkan pelbagai tanda tanya. Adakah pokok-pokok diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau sekadar ditanam dan dibiarkan begitu sahaja?
Bagi mengulas tentang perkara ini, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias menemu bual Pengurus Projek ‘Sustainable Management of Peatlands Ecosystems in Malaysia’, Prof. Dr. Ahmad Ainuddin bagi memberi pandangan beliau.
KOSMO! AHAD: Secara keseluruhannya, apakah peranan pokok-pokok yang ditanam dan dibiarkan membesar di tengah-tengah bandar?
AHMAD AINUDDIN: Pokok memainkan peranan yang penting di dalam bandar kerana ia memberi pelbagai manfaat iaitu perkhidmatan ekosistem dan estetika.
Perkhidmatan ekosistem yang diberi pokok adalah menyerap karbon dioksida dan menyimpan karbon. Pohon hijau juga menyerap gas pencemaran yang terdapat di bandar.
Pokok juga memberi teduhan dan kanopi untuk membalikkan sinaran matahari, sekali gus menjadikan persekitaran lebih sejuk serta nyaman. Pokok membuatkan bandar lebih cantik dengan kehijauan serta bunga pokok tersebut.
Sejak kebelakangan ini, berlaku peningkatan kes pokok tumbang sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. Bagaimanakah pokok-pokok ini boleh tumbang ketika ribut?
Pokok tumbang disebabkan oleh beberapa faktor. Sebelum itu, kita perlu melihat beberapa jenis keadaan pokok tumbang.
Jenis pertama adalah pokok tumbang semua. Ini bermaksud seluruh pokok tumbang dengan root plate terbungkah.
Jenis pokok tumbang kedua adalah seluruh pokok tumbang, tetapi bahagian yang tumbang root crown ke atas.
Ada juga pokok yang tumbang sebahagian sahaja iaitu patah di bahagian batang. Selain itu, terdapat sebahagian pokok yang patah seperti bahagian ranting besar atau kanopi (silara).
Ini juga boleh membahayakan pengguna di bawah pokok tersebut.
Dalam kes di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, kita boleh melihat pokok tumbang di bahagian atas akar (root crown). Ini menunjukan ada masalah dengan akar yang berperanan sebagai pengukuh kepada struktur pokok itu.
Kelemahan pada akar dan bahagian atas akar menyebabkan integriti struktur pokok tersebut lemah, sekali gus menyebabkan kegagalan pohon.
Saya juga ingin menekankan peranan akar pokok sebagai elemen penting dalam memastikan struktur pokok kukuh dan berdiri tegak.
Akar yang sihat tumbuh seiring dengan pertumbuhan bahagian atas permukaan pokok (aboveground).
Akar di bawah permukaan tanah akan tumbuh secara mendatar (horizontal) dan mendalam bergantung kepada spesies pokok.
Pertumbuhan ini memerlukan ruang yang cukup. Selalunya ruang akar untuk tumbuh dengan baik adalah sebesar kanopi pokok.
Kita tahu bahawa ruang bawah tanah di bandar adalah terhad disebabkan oleh pembinaan struktur perbandaran yang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan akar.
Pada masa sama, aktiviti pembinaan utiliti bandar juga boleh menyebabkan kecederaan kepada akar tersebut jika tidak ada perancangan yang betul.
Kita dapati kebanyakan kes pokok tumbang ini berlaku di kawasan bandar terutamanya di tepi-tepi jalan. Kebanyakan pokok-pokok ini diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun, mengapakah ia masih tumbang?
Pokok tumbang disebabkan kelemahan struktur pokok. Apabila akar atau batang lemah dan tekanan angin yang kuat menolak melebihi keupayaan pokok, maka ia akan tumbang.
Pokok sebagai entiti hidup akan terdedah kepada faktor yang menyebab kelemahan, terutamanya pokok sudah berumur (tua).
Sebenarnya, jumlah pokok yang tumbang tidaklah banyak jika dibandingkan dengan pokok yang telah ditanam dan diselenggara oleh PBT.
Secara dasarnya, adakah PBT di negara ini memilih pokok yang betul untuk ditanam?
Pokok yang ditanam akan dipilih berdasarkan tujuan ia ditanam dan dipilih berdasarkan spesies, karakter pokok, ruang yang ada serta keupayaan untuk menjaganya dengan baik dan berterusan.
Keputusan menanam pokok-pokok ini dibincangkan bersama dengan pembuat dasar dan pakar-pakar dalam penjagaan pokok.
Ada juga pokok yang ditanam tidak sesuai apabila ia menjadi terlampau besar serta menghalang penglihatan trafik dan mengganggu pejalan kaki.
Ada juga pokok yang menyebabkan kerosakan ‘pavement’ atau menyumbat longkang disebabkan akar besar.
Apakah had umur maksimum pokok di tengah bandar? Sekiranya sudah lebih usia, perlukan kita potong pokok-pokok ini walaupun ia mampu mengindahkan kawasan bandar atau ada cara lain?
Secara biologinya, pokok boleh hidup lama. Bagi pokok yang besar, ia boleh hidup lebih seratus tahun.
Namun demikian, pokok yang hidup di bandar terdedah kepada faktor ketegangan (stress) dan boleh mendapat penyakit, sekali gus mengurangkan umurnya.
Had umur pokok di bandar bergantung kepada spesies dan keadaan. Para arboris boleh mengenal pokok yang tua dan sakit dengan melihat keadaan fizikal. Pada keadaan tertentu, pokok tersebut boleh digantikan dengan pokok baharu.
Selain faktor luaran, faktor dalaman seperti kesihatan dan kesuburan pokok juga memainkan penting. Boleh Prof. ulas dengan lebih lanjut mengenai perkara ini?
Pokok tumbuh membesar bergantung kepada proses fisiologi pokok yang menggunakan cahaya matahari untuk memproses makanan.
Proses fisiologi seperti fotosintesis, respirasi, transpirasi dan pertumbuhan memerlukan nutrien seperti nitrogen, fosfat, kalium serta nutrien mikro untuk membesar.
Pengurangan nutrien ini akan menyebabkan pembesaran pokok merosot dan merencatkan pertumbuhan. Oleh itu, pihak PBT perlu memantau pokok-pokok ini untuk tumbuh sihat dan subur.
Pembajaan dan pengairan perlu dibuat untuk memastikan nutrien dan air cukup bagi pembesaran pokok.
Pada pendapat Prof., berapa peratuskah pokok-pokok yang berada di sekitar Lembah Klang berpotensi dan menunggu masa untuk tumbang?
Ini adalah satu soalan yang susah untuk dijawab. Saya perlu melihat data inventori pokok, umur-umur pokok tersebut, kaedah pengurusan pokok yang digunakan untuk mendapatkan jawapan.
Bagaimanapun pada pendapat saya, jika kita tengok jumlah pokok yang ditanam dengan pokok yang tumbang, peratusnya adalah sangat sedikit.
Sebagai seorang pakar, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pihak PBT bagi menangani masalah ini dalam jangka pendek dan jangka masa panjang?
Untuk jangka panjang, PBT mestilah ada polisi untuk pengurusan pokok bandar secara holistik, mengambil kira jumlah dan spesies yang ada, keupayaan kewangan serta tenaga untuk mengurus pokok.
PBT hendaklah ada pelan pengurusan pokok bandar, di mana aktiviti pengurusan pokok dirancang dan dijalankan mengikut objektif tertentu. Dalam jangka masa pendek, PBT perlu membuat pengurusan pokok, risiko dan mengenal pasti pokok-pokok yang berisiko tinggi serta menjalankan intervensi.
Di bandar-bandar lain, ada pokok yang berusia ratusan tahun dan mampu menjadi tarikan pelawat. Ini membuktikan bandar berkenaan mempunyai pasukan yang baik untuk menguruskan pokok-pokok berkenaan. Adakah Prof. bersetuju dengan pernyataan ini?
Saya bersetuju, malah bandar tersebut mempunyai pengurusan dan pasukan terbaik untuk mengurus pokok ikonik yang boleh memberi identiti unik kepada bandar tersebut.
Oleh itu pihak PBT hendaklah menjadikan pengurusan pokok sebagai salah satu agenda utama dalam pengurusan bandar.














