fbpx
AMPIR dua dekad memahat nama, penyanyi Marsha Milan kini boleh menarik nafas lega apabila bakat nyanyiannya semakin dijulang sehingga sentiasa diseru untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu setiap tahun.

Siapa tak mahu masuk AJL – Marsha Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIBERI kepercayaan menyerikan skor muzik atau berdendang menyempurnakan segmen lagu tema atau runut bunyi sesebuah naskhah drama mahupun filem ibarat tuah buat setiap penyanyi.

Jika naskhah tersebut meledak, lagu yang menjadi runut bunyi pasti terkena tempias sama, namun bukan semua penyanyi mampu meraih peluang sebegitu.

Berbeza pula halnya bagi Marsha Milan apabila lagu-lagunya bergema seiring kehangatan dua buah drama popular TV3 iaitu Lelaki Itu dengan  Dulu Kini dan Akhirnya, manakala Hening Rindu kedengaran lunak menyumbang impak dramatik naskhah Aku Bukan Ustazah.

Berani mengambil risiko mempertaruhkan dua single dalam tempoh yang sangat singkat, Marsha berkata, dia tidak mempunyai pilihan memandangkan kedua-dua lagunya menjadi runut bunyi dua drama berbeza.

Meskipun serentak, dia bersama syarikat pengurusan dan komposer terlibat tetap mencari jalan bagi memastikan kedua-dua lagu berkenaan saling berkait.

“Melihat jarak masa yang sangat singkat, kami buat keputusan untuk buat dua video muzik yang nampak seolah-olah drama bersiri. 

“Memang agak sukar nak jadikan dua buah lagu menjadi satu alur cerita tetapi syukur respons daripada pendengar sangat baik,” kata penyanyi berusia 38 tahun itu kepada HibGlam.

Berkongsi tentang Hening Rindu hasil ciptaan komposer Ikhwan Fattana dan Wan Salleh dan liriknya nukilan Wan Salleh, Marsha menyifatkan lagu tersebut mengembalikan suasana balada tahun 1990-an tetapi dalam sentuhan oden.

“Saya sangat berbesar hati dapat menyumbangkan suara sekali lagi untuk lagu tema Aku Bukan Ustazah yang memerlukan penghayatan emosi mendalam. 

“Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang  disampaikan.

“Sebagai penyanyi, saya rasa perihal itu sentiasa menjadi tanggungjawab untuk memberikan dinamik rasa dan warna kepada mana-mana kanvas (naskhah) yang dipertanggungjawabkan,” ujarnya.

TAHUN ini, Marsha kembali hangat dengan single berjudul Dulu Kini, Akhirnya dan Hening Rindu yang dilihat menguatkan lagi pengaruhnya sebagai penyanyi berkredibiliti. – AFIQ RAZALI

Tekanan AJL

Bercerita pengalaman sebagai penyanyi dan pelakon banyak membantunya menghayati setiap bait lirik Hening Rindu yang mengisahkan kehilangan, penghargaan dan keutuhan cinta  walaupun dipisahkan jarak serta waktu. 

“Saya percaya pengalaman sebagai pelakon membantu mendalami perasaan dan mematangkan transisi emosi. 

“Sebagai penyanyi, kita perlu fahami sesebuah karya yang mahu disampaikan terlebih dahulu. Saya pula jenis yang teliti dan akan selami setiap patah perkataan dalam lirik,” jelasnya lagi.

Sama seperti lagu terdahulu, Marsha menaruh harapan untuk Hening Rindu mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL), bagaimanapun enggan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri.

“Siapa tidak mahu berada di atas pentas gah. Tetapi saya tidak letak harapan tinggi. Saya harap lagu Hening Rindu berjaya menambat hati peminat, selebihnya saya serah kepada Allah.

“Ramai meletakkan harapan dan saya tidak mahu berharap sehingga ‘overthinking’.

“Sekarang, saya jadi teliti dalam membuat keputusan. Kalau boleh saya mahu momentum sentiasa ada,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan forte muziknya adalah genre balada, penyanyi kelahiran Sabah itu menjelaskan dia terbuka mencuba genre lain pada masa akan datang.

KETIKa lapangan nyanyian dilihat semakin menguatkan pengaruh dan membuktikan tahap relevan dirinya, Marsha masih mempunyai impian yang mahu digapai sebagai pelakon.

Balada

“Bukan nak cakap forte saya adalah balada tetapi saya belum berkesempatan mencuba genre lain. Setakat ini saya hidangkan apa yang peminat mahu dengar iaitu balada.

“Tapi ini tak membantutkan saya untuk keluarkan pagi genre lain pada masa akan datang,” ujar bekas peserta musim ketiga program realiti, Akademi Fantasia (AF3) itu.

Dalam pada itu, Marsha mengakui tidak kisah jika diberikan jolokan Ratu Runut Bunyi atau Original Soundtrack (OST).

Dia enggan meletakkan sebarang label atau gelaran pada diri sendiri sebaliknya memberi kebebasan kepada orang ramai untuk perkara tersebut.

“Saya tak kisah perkara itu (gelaran ratu OST) malah melihatnya dari sudut positif. Ini fasa lain yang saya patut hargai gelaran diberikan.

“Namun, saya tidak meletakkan sebarang penanda aras untuk digelarkan ratu apa. Biar orang yang menilai semua karya saya keluarkan,” jelasnya menutup bicara.

ENGGAN meletakkan banyak harapan sehingga menekan emosi sendiri, Marsha hanya mahu menikmati proses seterusnya jika ada lagunya bakal sekali bersaing di pentas AJL pada edisi akan datang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN