fbpx
Dekorasi minimalis moden hitam putih menghiasi ruang kediaman.

K2

Putih, hitam gabungan cita rasa suami, isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FALSAFAH minimalis moden menekankan kepada kejelasan visual, penggunaan palet warna natural dan dekorasi yang minimum.

Gaya tersebut menampilkan kesederhanaan, kefungsian dan memberi tumpuan untuk mencipta ruang yang kemas.

Atas dasar itu, pasangan Hafiza Noor Nadia dan Tuah Sarhan memilih tema berkenaan untuk mendominasi tatahias kediaman Semi D Corner Lot milik mereka di Sitiawan, Perak.

Pasangan suami isteri tersebut sepakat memilih penggunaan warna hitam, kelabu dan putih bagi keseluruhan rumah berkeluasan 20X60 kaki persegi (111.5 meter persegi) itu.

Jelas Hafiza, minimalis moden juga sesuai kerana memberikan keluasan ruang buat dua orang anak lelakinya, Ibrahim dan Idris yang masih lagi kecil.

“Inspirasi tatahias ini tercetus apabila suami saya sukakan warna hitam tetapi saya sukakan warna putih.

“Jadi kami gabungkan kedua-dua warna ini. Ia sesuai dengan konsep minimalis moden yang ringkas.

“Tambahan pula, kami memiliki dua orang anak kecil. Kekemasan adalah penting agar tidak serabut,” katanya kepada K2.

Uniknya juga di kediaman ini, ruang tamu dan ruang makan dijadikan satu ruang sama yang dibahagikan dengan dua sofa berwarna kelabu.

Di ruang pertama, terdapat rak TV bersegi, meja kopi berbentuk bulat, kabinet dinding dan permaidani.

Sementara di ruang kedua hanya diletakkan sofa, kusyen dan hiasan dinding berbingkai gambar.

Bagi penulis, tarikan sebenar kediaman itu adalah bahagian tengah yang berfungsi sebagai pembahagi kepada kedua-dua ruang tersebut.

Pemilihan candelier yang tampak mewah, tetapi masih menepati ciri-ciri minimalis moden itu menjadikan keseluruhan ruang tampak anggun.

Tambah wanita berusia 35 tahun itu, pemasangan dinding flute dan cermin menambah lagi kedinamikan visiual ruang yang menjadi tumpuan tetamu.

“Ruang makan sebenarnya bersebelahan ruang tamu, tetapi kami pindahkan meja makan ke ruang dapur selepas kami luaskan dapur.

“Perubahan-perubahan ini dilakukan supaya ruang tamu menjadi lebih luas untuk kami sekeluarga.

“Selain itu, anak-anak juga dapat bermain dan bergerak bebas,” katanya.

Biarpun tersorok dari pandangan luar, konsistensi moden minimalis dapat dilihat pada estetik kabinet dapur, kitchen island dan kerusi bar.

Selain penyusunan perabot dan hiasan dalaman yang menyejukkan mata memandang, pasangan itu turut mementingkan soal pencahayaan.

Suri rumah sepenuh masa itu berkata, gabungan dua warna lampu membuat rumah tampak lebih luas.

Katanya, cara tersebut memberikan pencahayaan yang seimbang dan menyerlahkan lagi segala sisi rumah.

“Kami memakai lampu jenis down light untuk kesan cahaya cool light.

“Untuk warm light pula, kami memilh untuk menggunakan lampu L-box jenis T5. Kami juga menggunakan track light dengan warna warm untuk naikkan sudut kawasan rumah,” jelasnya.

Kos keseluruhan dekorasi adalah lebih kurang RM80,000, namun perubahan dilakukan secara berperingkat.

Tambahnya, kawasan luar rumah pula dijadikan taman mini yang menempatkan tanaman-tanaman yang jarang dijumpai.

“Tujuan kami pilih rumah corner lot adalah kerana kami sukakan konsep taman mini.

“Antara pokok jarang jumpa di taman mini kami adalah Philodendron Florida Beauty dan Monstera Albo,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN