PETALING JAYA – Berkahwin dengan niat mahu mencegah kehamilan semata-mata inginkan keseronokan serta kebebasan adalah berdosa dan hukumnya haram, kerana ia tidak selari dengan matlamat perkahwinan menurut syariah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memberitahu, Islam melarang umatnya yang berkahwin mencegah kehamilan tanpa sebab yang munasabah.
“Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, berkahwinlah dan beranak pinaklah, sesungguhnya aku akan
berbangga dengan ramai umatku pada hari kiamat kelak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan ramai pasangan berkahwin terutama golongan muda membuat pilihan untuk menikmati kehidupan child-free iaitu perkahwinan tanpa anak.
Antara alasan yang diberikan adalah tidak bersedia bergelar ibu bapa, selesa hidup berdua dengan pasangan dan kenaikan kos sara hidup.
Bercerita lanjut, Wan Salim berkata, tujuan utama perkahwinan adalah bagi memelihara kehormatan diri, melahirkan keturunan yang sah dan membina keluarga sakinah diliputi perasaan tenteram,
kasih mesra serta belas kasihan.
“Menurut fatwa Lembaga Fatwa Mesir bahawa membatasi kelahiran anak, dalam pengertian menghentikan kemungkinan berlaku kehamilan secara kekal, tidak diharuskan pada hukum syarak kerana ia bercanggah dengan maqasid (matlamat) syariah dalam memelihara keturunan manusia di dunia.
“Namun merancang kelahiran anak dengan maksud untuk menjarangkan kehamilan dengan tujuan memelihara kesihatan ibu atau supaya memberi jangka masa yang cukup untuk mendidik anak-anak, maka ia diharuskan.
Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, pasangan normal akan memikirkan soal zuriat melainkan mereka terikat dengan pendapatan yang kecil, gaya hidup serba sibuk atau tidak mempunyai asas keperluan kukuh.
“Kalau di luar negara, ramai yang tidak mahu anak, tapi orientasi sosial budaya tak sama dengan kita. Kita masih ada lagi unsur spiritual, keharmonian, kepercayaan, keagamaan, masyarakat setempat.
“Jadi agak pelik kalau masyarakat kita memilih untuk child-free, kalau sementara, untuk jangka pendek betul. Jangan kahwin kalau tak bersedia.
“Mungkin hanya jangka pendek sahaja, bila pendapatan stabil baru mahu anak,” ujarnya.














