fbpx

Jabatan Perikanan tanam rumput laut elak kepupusan dugong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN MUHAMMAD AZNAN melakukan gimik pelancaran dengan menunjukkan Ikan Susu pada Majlis Pelancaran Rasa-Rasa Akuakultur & Jelajah Unggulan Perikanan Negeri Johor 2024 di Jabatan Perikanan Negeri Johor, Gelang Patah hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Bagi mengelakkan kepupusan dugong di negara ini, Jabatan Perikanan (DOF) mengambil inisiatif melaksanakan penamanan semula rumput laut di Pulau Tinggi dan Pulau Sibu, Mersing yang merupakan kawasan ragut dan habitat mamalia itu.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, usaha itu dilakukan menarik lagi kehadiran dugong yang juga dikenali sebagai lembu laut di kedua-dua pulau yang diwartakan sebagai Taman Laut.

Katanya, DOF akan berkerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berkaitan bagi menghidupkan semula santuari dugong di perairan Mersing itu.

“Seperti di Pulau Tinggi, kadang kala arus terlalu kuat dan akan menolak rumput laut yang tumbuh, oleh sebab itu kita juga akan buat tukun untuk membangunkan coral supaya rumput laut dapat berlindung daripada arus.

“Selain itu, kita juga akan meletakkan kima (sejenis kerang laut) untuk membantu habitat dugong ini, kerana rumput laut juga akan hidup di kima dan seterusnya dimakan dugong,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pelancara Rasa-Rasa Akuakultur dan Jelajah Unggulan Perikanan Negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha DOF bagi mengelakkan kepupusan dugong di perairan Mersing.

DOF sebelum ini memaklumkan Kepulauan Mersing merupakan lokasi dugong kerap dijumpai, namun disebabkan ancaman terhadap habitat dan ekosistem rumput laut, populasi mamalia itu semakin mengecil.

“Terdapat sekurang-kurangnya 19 kematian dugong direkodkan antara 2015 dan 2022, dengan kebanyakannya anak dugong.

“Walaupun tiada anggaran bilangan tepat bagi populasi dugong di Kepulauan Mersing, Kajian Mamalia Laut dan Pemuliharaan (MareCet) mencadangkan bahawa populasi dugong di kawasan itu tidak melebihi 100 ekor, dan besar kemungkinan mempunyai bilangan yang lebih kurang daripada 100 ekor,” menurut DOF.

Dalam pada itu, Wan Muhammad Aznan memberitahu, pembangunan sumber dan habitat dugong yang diancam kepupusan itu mestilah seiring bagi menjamin kemandirian spesies satu-satunya mamalia marin herbivor.

“Kita dapat lihat di kawasan itu kini sudah ada komuniti baharu Dugong, bukan itu sahaja malah ada ikan lumba-lumba dan kuda laut juga dikesan di pulau tersebut.

“Justeru, kita akan kerap membuat pemantauan di kawasan itu bagi memastikan tiada nelayan memasuki kawasan santuari itu yang tidak membenarkan aktiviti perikanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI