fbpx
Gambar hiasan

Ibu bapa banyak songeh, masa depan anak tergadai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI ibu bapa pada zaman teknologi serba canggih dan kecerdasan otak anak-anak yang semakin meningkat, sememangnya bukan mudah.

Begitu juga dengan guru yang perlu memikul tanggungjawab lebih berat ketika berhadapan dengan ibu bapa generasi muda terutamanya, yang banyak sungguh pertanyaan dan permintaan.

Namun, lebih sukar sebenarnya menjadi anak yang membesar dalam persekitaran terlalu dikawal ibu bapa, sehingga menyebabkan mereka berkembang dengan sikap manja dan tidak pandai berdikari.

Pasti kita pernah terbaca perkongsian-perkongsian di media sosial mengenai sikap ibu bapa yang ditonjolkan dalam kumpulan sembang WhatsApp sekolah anak.

Tidak cukup dengan meletakkan beban mengingatkan kerja sekolah kepada bahu guru, ada ibu bapa yang ‘melantik’ guru menjadi penjaga alat tulis anak-anak dan menyalahi cikgu sekiranya ‘barang sekolah’ hilang. Ada juga yang marah kerana tidak ingatkan mengenai cuti sekolah.

Menurut Pensyarah Kanan (Psikologi Perkembangan), Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Siti Marziah

Zakaria, ibu bapa yang berterusan mengatur hidup anak-anak akan menyebabkan zuriat mereka membesar menjadi kurang keyakinan diri.

“Anak akan menjadi seorang yang kurang kemahiran menyelesaikan masalah dan daya tindak kerana mereka sudah terbiasa diberi penyelesaian oleh ibu bapa untuk setiap masalah.

“Anak-anak seperti ini akan menjadi individu yang tidak mempunyai sikap kepimpinan. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah apabila mereka berkahwin, mereka dibimbangi menjadi suami yang tidak punyai daya kepimpinan atau isteri yang tidak pandai menguruskan rumah tangga,” katanya.

Tambah Siti Marziah, ibu bapa seharusnya membiarkan anak membuat kesilapan supaya mereka dapat belajar daripada kesalahan itu dan mempunyai rasa tanggungjawab.

Jelasnya, tidak dinafikan bahawa ibu bapa yang mempunyai pendidikan tinggi atau berpendapatan tinggi lebih cenderung memenuhi setiap permintaan anak terutamanya dari segi wang ringgit.

“Namun, harus diingat bahawa anak perlu diajar rasa susah. Biar mereka rasakan pengalaman yang sukar agar mereka belajar menyelesaikan masalah dan menghadapi setiap cabaran pada masa akan datang,” jelasnya.

Jelas di sini bahawa sikap dan perkembangan sahsiah seseorang anak itu bergantung kepada ‘acuan’ ibu bapa di rumah.

Jika dari kecil anak sudah biasa melihat guru dimarahi disebabkan kecuaian mereka sendiri yang tidak menyiapkan kerja sekolah, jangan hairan sekiranya anak membesar menjadi seorang yang tidak boleh ditegur, sering menyalahkan orang lain atas semua perkara dan tidak mampu mengharungi cabaran getir.

Kadangkala penulis sendiri pun tidak faham, mengapa ada segelintir ibu bapa yang beria-ria manjakan anak sampaikan hal yang remeh pun mahu salahkan guru.

Sedangkan zaman kanak-kanaknya dahulu, dia turut sama berkubang dalam sungai sampai ke senja hinggakan kena pulas telinga dengan ibu!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN