fbpx
Gambar tular yang membongkar kisah Azlan dan Norhidayu sehingga mendapat perhatian ramai.

Pasangan tular sudah nikah, awak bila lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bermula dengan gambar membawa anak dalam keadaan menyayat hati tular di media sosial, pasangan Mohd. Azlan Ishak dan Norhidayu Halim akhirnya disatukan.

Perjalanan kisah hidup mereka ini mendapat perhatian ramai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sudah tentu gambar mereka membawa anak kecil berusia 11 bulan menunggang motosikal dengan memakai topeng gas kerana menghidap penyakit paru-paru kronik meruntun hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Namun, tidak sampai seminggu pasangan ini tular, terdapat kisah di sebaliknya yang dibongkar apabila mereka ini sebenarnya belum bernikah.

Selepas menerima pelbagai jenis bantuan termasuk kereta, pasangan itu kemudian menamatkan spekulasi apabila menghalalkan hubungan mereka di Masjid Al-Maarufi di Seberang Kota, Kuala Kedah pada petang kelmarin.

Apa yang menarik, Mohd. Azlan, 36, terus memohon maaf di atas kesilapannya kerana mengaku dia dan Norhidayu, 35, insan kerdil yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Dia juga berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin walaupun bukan dia yang meminta-minta tetapi dengan rendah hati mengatakan Allah SWT yang telah menggerakkan hati para dermawan untuk membantunya.

Semoga kebaikan para dermawan akan menjadi pahala berterusan buat mereka.

Sebenarnya kisah tiga beranak itu merupakan ujian buat semua sekiranya kita mengambil ibrah atau pengajaran daripada kisah tersebut dari sudut positif.

Setiap hari kita mengeluh kerana terbeban dengan pelbagai masalah sedangkan ada lagi yang lebih teruk atau hebat dugaannya.

Seharusnya kita perlu beringat bahawa setiap yang indah itu boleh bertukar kepada bencana dan begitulah sebaliknya.

Bagi Mohd. Azlan dan Norhidayu, entah berapa lama mereka hidup dalam kesusahan tetapi dalam sekelip mata ia boleh berubah. Begitu hebat hidup yang direncanakan oleh Yang Maha Berkuasa.

Kita tidak tahu apa yang dipohon pasangan itu dalam doanya kepada Tuhan setiap hari tetapi mengikut telahan mudah, salah satunya sudah pasti mereka mahu rezeki didatangkan daripada arah yang tidak disangka-sangka.

Doa merupakan senjata orang mukmin. Doa dalam apa bahasa sekalipun sudah pasti didengari oleh Allah SWT kerana makbul doa itu mengikut sangkaan kita kepada apa yang dipohon itu.

Sering kita dengar memohon murah rezeki, berkat dan halal, keafiatan tubuh badan serta dikurniakan anak soleh dipohon oleh mereka yang mendirikan solat.

Jadi, usahlah risau mengenai rezeki kerana ia sememangnya dalam kekuasaan Tuhan Yang Maha Mencipta.

Jika masih belum bertemu jodoh, maka berdoalah sekerap yang mungkin dan penuh pengharapan kerana siapa tahu kisah manis yang ditakdirkan kepada pasangan tular mungkin juga berlaku kepada anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN