fbpx

Waspada ‘scammer’ menyamar sebagai pegawai MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai MCMC.

MCMC dalam kenyataan berkata, saranan ini dibuat susulan peningkatan kes yang diterima oleh pihaknya sejak seminggu yang lalu.

Katanya, modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu.

“Pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai pegawai MCMC dan memaklumkan bahawa nombor telefon mangsa telah terbabit dalam kegiatan jenayah.

“Namun, sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian tersebut akan disekat atau disenarai hitam,” katanya hari ini.

MCMC menegaskan, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan pihaknya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang MCMC ataupun menerusi platform media sosial.

“Pihak berkuasa termasuk MCMC tidak akan meminta butiran dan maklumat peribadi individu. Justeru, MCMC menggesa orang ramai untuk tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak yang tidak dikenali.

“Orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil (block call/reject list) atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki,” ujarnya.

Dalam pada itu, MCMC memaklumkan sekiranya menerima panggilan-panggilan mencurigakan, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

“Kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI