fbpx

Inspektor dituduh terima rasuah tak lapor kes dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Kassim (kiri) dituduh empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini.

ALOR SETAR – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah melibatkan kes individu disyaki terlibat dadah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Kassim Mamas, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 33 tahun sebagai dorongan untuk tidak melaporkan penahanan individu terbabit yang disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Tertuduh yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu dituduh melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah kereta Proton Persona di Kampung Kenangan, Serdang di Bandar Baharu, dekat sini kira-kira pukul 10.15 malam, 21 Jun 2021.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada dua anak itu dituduh bersetuju untuk menerima suapan RM15,000 daripada lelaki terbabit atas dorongan sama di dalam kereta Proton Persona di Sungai Tengas, Serdang kira-kira pukul 10.30 malam, hari sama.

Sementara pertuduhan ketiga, Mohammad Kassim didakwa memperoleh suapan RM2,000 daripada seorang lelaki lain berusia 30 tahun yang merupakan ahli keluarga kepada individu (disyaki) terlibat kesalahan dadah itu atas dorongan sama di dalam Proton Persona di kampung sama kira-kira pukul 11 malam, hari sama.

Tertuduh dalam pertuduhan keempat didakwa bersetuju untuk menerima suapan RM7,000 daripada individu disyaki terlibat kesalahan dadah terbabit menerusi perbualan telefon kira-kira pukul 5.40 petang, 22 Jun 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI