fbpx

ACP, DSP didakwa cuba tutup kes beli senjata warga Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khian Kong (kiri) dan Suhairon ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua pegawai polis masing-masing berpangkat Asisten Komisioner (ACP) dan Deputi Superintendan (DSP) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM1 juta bagi membantu menutup siasatan seorang ahli perniagaan lelaki yang dikaitkan dengan mata wang kripto dan pembelian senjata api oleh warga Israel.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Deputi Superintendan Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azura Alwi.

Khian Kong merupakan Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik manakala Suhairom merupakan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency yang mana kedua-duanya bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama, sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28, untuk membantu menutup siasatan jenayah ke atasnya berkaitan kes bawah seksyen 120 Kanun Keseksaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat, Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik/Cryptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini, pukul 12 tengah hari hingga 1 petang pada 8 April lalu.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa telah menerima suapan wang jumlah sam daripada lelaki yang sama untuk dorongan serupa, di ruang letak kereta, menara itu, pukul 4.29 hingga 4.40 petang pada tarikh sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat pendakwan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama Khiam Kong turut berhadapan atas dua lagi pertuduhan, iaitu bersetuju untuk menerima dan telah mendapat suapan RM250,000 daripada individu sama sebagai dorongan serupa di lokasi sama masing-masing pukul 12.30 tengah hari pada 18 April dan 10.30 pagi hingga 1 petang pada 19 April lalu.

Dua kes itu juga dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) akta sama dengan hukuman serupa.

Hakim Azura kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM40,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh 30 Julai ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI