fbpx

Warga asing lari lintang-pukang elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FAIZAL (kanan) mengetuai Ops Mahir dalam serbuan di sebuah gudang hub pengumpulan dan pengagihan barangan di Kampung Haji Ghaffar, Jalan Yong Peng-Air Hitam, Yong Peng, Batu Pahat, semalam. Foto RAJA JAAFAR ALI

BATU PAHAT – Beberapa lelaki warga asing lari lintang-pukang apabila menyedari kehadiran penguat kuasa dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Haji Ghaffar, Jalan Yong Peng-Air Hitam, Yong Peng, di sini malam semalam.

Dalam serbuan bermula pada pukul 11.55 malam itu, usaha mereka itu bagaimanapun gagal apabila diberkas Jabatan Imigresen (JIM) Johor menerusi Ops Mahir.

Pemangku Pengarah JIM Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, operasi khas itu dijalankan susulan pihaknya menerima maklumat daripada orang awam dakwaan terdapat sebuah syarikat penghantar menggajikan pekerja asing tanpa permit.

Susulan itu beliau berkata, pihaknya menjalankan risikan sebelum melakukan serbuan ke atas gudang terbabit yang terletak kira-kira satu kilometer tersorok di dalam kebun sawit dari jalan utama bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pihak JIM memeriksa 148 lelaki warga asing pelbagai negara yang sedang bekerja di gudang terbabit. 122 daripada mereka yang berusia 19 hingga 53 tahun telah melanggar syarat pas kerja, bekerja tanpa permit serta tinggal lebih masa.

“Pecahan tangkapan terdiri daripada 49 lelaki warga Pakistan, Myanmar (41), India (25), Bangladesh (3) dan seorang masing-masing lelaki China, Nepal, Indonesia serta Sudan,” katanya.

Mohd. Faizal berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pekerja asing terbabit dieksploitasi oleh individu atau sindiket.

“Kemungkinan mereka dieksploitasi, dalam permit tulis kerja disektor lain tetapi tak ada kerja, mereka dibawa kerja ke sini. Ada juga yang tak ada pas kerja, mereka ditempatkan kerja dekat sini.

“Kalau kita lihat, jalan nak masuk ke gudang ini agak tersorok, mungkin mereka (syarikat) sewa gudang ini. Pada waktu siang pekerja warga tempatan, malam pula warga asing, sebab itu mungkin nak mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Mohd. Faizal berkata, turut ditahan ialah pengurus serta pegawai sumber manusia premis terbabit warga tempatan berusia 27 dan 29 tahun.

Semua warga asing yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.

Kedua-dua warga tempatan pula ditahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) kerana mengambil pekerja asing secara tidak sah.

Semua mereka dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI