fbpx

DRB-HICOM rekod untung pra-cukai RM210 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wisma DRB-HICOM, Shah Alam.

PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM210.8 juta untuk tempoh suku tahun pertama 2024, melebihi RM200.8 juta yang dicapai pada suku sama tahun lepas.

Angka tersebut disertai peningkatan hasil sebanyak 5.6 peratus untuk mencecah RM4.3 bilion, berbanding RM4.1 bilion pada suku pertama 2023.

DRB-HICOM dalam satu kenyataan hari ini berkata, prestasi tersebut disokong pertumbuhan berterusan merentasi kesemua sektor perniagaannya, dengan hasil daripada sektor automotif meningkat 0.8 peratus kepada RM3,047.8 juta, terutamanya disebabkan oleh volum jualan lebih tinggi.

Sektor aeroangkasa dan pertahanan pula mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 11.4 peratus kepada RM187.8 juta, terutamanya disebabkan peningkatan dalam jualan bagi produk ‘single-aisle’ dan komponen-komponen pesawat.

“Sektor pos mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak 4.6 peratus kepada RM291.2 juta, disumbangkan terutamanya oleh perniagaan mel.

“Sektor perbankan turut mencapai peningkatan hasil iaitu sebanyak 34.6 peratus kepada RM510.4 juta didorong oleh peningkatan pendapatan pembiayaan, disokong peningkatan jumlah pembiayaan berikutan pertumbuhan mampan dan pangkalan pelanggan yang berkembang.

“Manakala sektor perkhidmatan merekodkan peningkatan hasil enam peratus kepada RM216.6 juta, disumbangkan terutamanya oleh perniagaan katering dalam penerbangan yang menyaksikan peningkatan dalam hidangan disediakan serta perkhidmatan pengendalian darat, sejajar dengan peningkatan bilangan penerbangan.

“Sementara itu, hasil daripada sektor hartanah Kumpulan melonjak 63 peratus kepada RM79.1 juta, terutamanya disebabkan hasil lebih tinggi daripada projek pembangunan hartanah,” katanya.

Kumpulan mengekalkan prospek yang memuaskan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI