SELEPAS hampir sedekad mengemudi Liverpool, Jurgen Klopp akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada para peminat The Reds pada Ahad lalu.
Pada malam tersebut, pengurus berasal dari Jerman itu telah menghadiahkan kemenangan kepada peminat hasil kejayaan menumpaskan Wolverhampton 2-0 pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selepas wisel penamat, Klopp jelas tidak dapat menahan sebak kerana terpaksa meninggalkan Liverpool selepas memberikan pelbagai kejayaan manis kepada kelab, antaranya kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Biarpun ada penyokong dilihat meratapi pemergian salah seorang pengurus terbaik di dunia itu, namun Klopp dalam ucapan terakhirnya percaya legasi kejayaan di Anfield bakal diteruskan oleh ketua jurulatih baharu, Arne Slot.
Penulis sebagai peminat setia Liverpool percaya kelab telah memilih orang yang tepat bagi mengemudi pasukan pada masa depan terutamanya selepas perlantikan Michael Edwards sebagai Ketua Pengarah Eksekutif kelab.
Edwards pastinya telah membuat segala perhitungan sebelum merekrut Slot sebagai ketua jurulatih memandangkan beliau terkenal sebagai seorang individu yang obses dengan data dan statistik.
Disebabkan itu, penulis senaraikan beberapa sebab bahawa Slot sebagai pengganti ideal kepada Klopp, sekali gus meneruskan tradisi kejayaan di bumi Merseyside sejak sekian lama.
Pertamanya, Slot dan Klopp mengamalkan pendekatan pressing (menekan) pemain lawan di aras tinggi.
Klopp gemar menggunakan formasi 4-3-3 yang memberi sedikit kelopongan di bahagian bawah apabila tekanan diberikan di bahagian atas.
Sementara itu, Slot yang melatih kelab Belanda, Feyenoord dilihat lebih suka menggunakan formasi 4-2-3-1. Ini membolehkan benteng pasukan lebih dilindungi, sekali gus menutup kekurangan yang ada pada formasi Klopp sekarang.
Kedua adalah penggunaan dua pivot (tengah bertahan). Pada awal kemasukan Klopp, beliau gemar menggunakan dua pemain pertahanan tengah.
Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama kerana Klopp sukakan pemain tengah menyerang yang lebih iaitu dua orang.
Hakikatnya, kejayaan Liverpool selama ini didukung oleh dua pivot yang wujud secara tidak sedar terutamanya jika pertahanan sayap iaitu Trend dan Robertson naik ke atas membantu serangan, maka pemain tengah menyerang terpaksa bertahan.
Faktor seterusnya adalah gaya serangan. Slot dan Klopp dilihat suka menggunakan pendekatan menyerang secara beramai-ramai dengan pertahanan bermain di garisan tinggi.
Biarpun pendekatan ini agak berisiko, namun formula berkenaan sebenarnya telah memberi kejayaan kepada Liverpool sepanjang berada di bawah Klopp.
Meskipun Slot dicanang sebagai pengganti ideal Klopp, namun para peminat Liverpool perlu menyesuaikan diri dengan gaya permainan baharu pada musim depan.
Hal ini kerana, Slot lebih gemarkan gaya permainan tersusun dan rentak perlahan.
Ia berbeza sama sekali dengan Klopp yang gemarkan gaya permainan ‘heavy metal’ iaitu serangan pantas kilat.














