SEBERANG PERAI – Penghuni di Flat Taman Sintar Indah, Nibong Tebal di sini, kini semakin tertekan apabila terpaksa tinggal dalam keadaan dikelilingi ribuan lalat sehingga membataskan rutin harian mereka.
Serangan lalat secara ‘bermusim’ itu dikatakan semakin menjadi-jadi sejak awal bulan ini dan difahamkan masalah itu didakwa berpunca daripada pengurusan sisa yang tidak sistematik dari tiga ladang dipercayai ternakan ayam tidak jauh dari penempatan berkenaan.
Salah seorang penduduk, Shahirah Hashim,25, berkata, kehadiran lalat yang terlalu banyak amat meresahkannya sekali gus telah menjejaskan aktiviti hariannya.
Menurutnya, sudah tiga kali kediamannya diserang lalat sejak menyewa di flat terbabit hampir sepuluh bulan lalu.
“Kita boleh lihat serangan lalat ini seolah-olah bermusim dan bulan ini (Mei), keadaan bertambah teruk.
“Ada kalanya sampai terasa-rasa seperti saya menggigit lalat ketika sedang makan atau minum, malah keadaan ini sudah berlarutan sejak sekian lama.
“Ibu dan bapa saya turut tinggal bersama dan situasi ini mengancam kesihatan mereka kerana lalat adalah serangga yang kotor dan boleh jadi penyakit lain pula,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, G. Sivapakiam, 61, pula merayu supaya tindakan segera diambil pihak berwajib bagi menangani masalah itu.
“Berhampiran kediaman ini memang ada ladang ternakan, malah kita harap sangat isu ini boleh diselesaikan secara baik.
“Kami bukan halang perniagaan orang, tetapi urus sisa supaya tidak susahkan orang lain,” ujarnya.














