fbpx

Polis panggil Azmin, kes dokumen PKNS bocor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Azmin

SHAH ALAM – Polis Selangor mengesahkan memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi dirakam keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rakaman itu bertujuan membantu siasatan dibawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat.

Katanya, siasatan dimulakan ekoran satu laporan polis pada 14 Mac lalu oleh seorang pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Pegawai tersebut mendakwa dokumen sulit perbadanan tersebut telah dibocorkan dan beberapa maklumat yang tidak tepat didedahkan kepada umum dan dikhuatiri boleh menjejaskan imej serta nama naik PKNS.

“Kehadiran Mohamed Azmin adalah bagi membantu siasatan kebocoran dokumen tersebut dan bukan mengenai perkara dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan, setakat ini seramai 15 saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, Hussein menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat sehingga selesai siasatan polis.

Terdahulu, media melaporkan Mohamed Azmin enggan hadir ke balai polis meskipun dipanggil mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah bagi merekodkan kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini susulan kenyataannya dalam DUN pada Mac lalu mengenai pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Mohamed Azmin dalam kenyataannya pagi tadi menyifatkan notis tersebut adalah tidak berpelembagaan dan jelas melanggari perundangan telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kemudiannya menasihatkan agar Ketua Pembangkang Selangor tersebut agar bersikap seperti ‘anak jantan’ dan tidak takut untuk menghadirkan diri bertemu pihak polis untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI