fbpx

Malaysia hantar Mohamad Sabu ke Iran hadiri pengebumian Presiden Raisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PETALING JAYA – Presiden Interim Republik Islam Iran, Mohammad Mokhber memberi jaminan bahawa hubungan baik dan kerjasama dengan Malaysia akan tetap dipelihara lantas diperkukuh.

Jaminan itu diberikan Mohammad Mokhber selepas dihubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Hari ini saya telah menghubungi Presiden Interim Republik Islam Iran, Mohammad Mokhber dan merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Almarhum Presiden Ebrahim Raisi dan Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian yang maut dalam nahas helikopter pada 19 Mei lalu.

“Mokhber merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas perutusan budi dan takziah sementalahan menyifatkan kedua-dua negara adalah rakan strategik yang menyanjung hubungan politik dan ekonomi yang sangat tinggi,”tulisnya di laman Facebook.

Anwar berkata, Mohammad Mokhber turut berduka di atas kehilangan dua orang kenamaan besar dalam kemalangan tragis dan malang itu selain meninggalkan pengaruh yang sangat kuat di Iran.

Pada perbualan itu juga, Anwar sempat mengimbau pertemuan sebanyak dua kali dengan almarhum Presiden Ebrahim Raisi dan Hossein Amir-Abdollahian pada tahun lepas di New York dan Riyadh.

“Saya telah memberi jaminan kepada Mokhber bahawa Malaysia akan meneruskan komitmen yang dibuat kepada Iran di bawah kepemimpinan almarhum Presiden sebelum ini.

“Saya memaklumkan bahawa Malaysia akan menghantar seorang Menteri kanan (Mohamad Sabu) ke Iran untuk menghadiri majlis pengebumian almarhum Presiden Raisi,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI