PETALING JAYA – Konflik Asia barat melibatkan isu peperangan Palestin dengan Israel menjadi salah satu topik yang dibincangkan pada Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bangkok semalam.
Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) AFC, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Kata Hamidin, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC telah bersetuju untuk berikan bantuan khas buat Palestin susulan konflik terbabit.
“FIFA dan AFC akan memberi bantuan yang diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA).
“Semua perwakilan AFC menzahirkan rasa sedih tidak terhingga atas kejadian yang berlaku di bumi Palestin yang telah banyak mengorbankan rakyat mereka termasuk juga pemain dan pegawai bola sepak serta petugas media,” kata Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA.
Mengulas lanjut, Hamidin mengesahkan AFC bersetuju menerima usul daripada beberapa ahli gabungan untuk memansuhkan peraturan mengehadkan presiden dan ahli jawatankuasa eksekutif kepada maksimum tiga penggal.
“(Keputusan ini) Maksudnya sekarang, tiada had ditetapkan,” katanya.
Selain Hamidin, Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail serta dua Exco FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya dan Md. Dali Wahid turut sertai delegasi badan induk bola sepak negara ke kongres terbabit. – KOSMO! ONLINE








