fbpx

Masyitah mungkin terlepas sertai Kejohanan Perahu Naga Dunia ICF di Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Saloma ketika melawat Siti Nurul Masyitah di Hospital Colombia Asia, Iskandar Puteri hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md. Elias yang mengalami kecederaan parah selepas dirempuh dan diseret lelaki mabuk Sabtu lalu mungkin terlepas untuk menyertai Kejohanan Perahu Naga (Dragon Boat) Dunia ICF 2024 di Filipina, 30 Oktober hingga 3 November depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, atlet berusia 22 tahun itu terpaksa melupakan hasratnya untuk menyertai kali pertama kejohanan dunia berikutan patah tulang pelvik, bahu kanan serta belakang badan.

“Dia (Siti Nurul Masyitah) memang dalam persediaan dan mengadakan latihan untuk menyertai kejohanan dunia di Palawan, Filipina bermula 30 Oktober hingga 3 November ini.

“Apabila berlaku kemalangan sebegini, dia kemungkinan terlepas untuk menyertai kejohanan itu dan kita akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses pemulihan dan kesihatan fizikal serta mentalnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Siti Nurul Masyitah di Hospital Columbia Asia di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tempoh penyembuhan atlet berkenaan dijangka memakan tempoh masa lama dan pihaknya yakin pihak hospital memberi rawatan sesuai dalam usaha mengembalikan atlet kepada keadaan asal.

Katanya, KBS bersedia untuk menanggung kos rawatan sekiranya memerlukan kulit import dari luar negara untuk rawatan kecederaan pada bahagian belakang seperti rawatan yang dilakukan ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

“Dia seseorang yang kuat, cukup ceria namun kami tidak bincang berkaitan penyertaannya dalam kejohanan dunia itu sebaliknya memberi semangat kepadanya untuk terus bangkit.

“Malah permintaanya hanya satu, dia ingin menduduki dua lagi kertas peperiksan semester akhir di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan kami berharap ia dipertimbangkan kerana dia boleh membaca, menulis dan berbual serta menggerakkan anggota badannya,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Saloma Ramli, 58, memaklumkan Siti Nurul Masyitah menunjukkan perkembangan positif apabila sudah sedar, boleh bertutur dan makan seperti biasa.

Jelasnya, doktor turut memaklumkan anaknya itu diminta berpuasa hari ini untuk menjalani prosedur rawatan kulit.

“Pukul 10 hari ini dia mula puasalah tak kasi makan, nanti petang pukul 5 dia nak masuk bilik bedah untuk melihat keadaan sama ada boleh menggunakan kulit bahagian lain untuk tampal bahagian belakang yang cedera,”katanya.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang, Sabtu lalu, pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), PIS itu dirempuh dan diseret sejauh 600 meter pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, Johor Bahru.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI