fbpx

Tiada bukti tepat 12 penuntut UPNM niat bersama cederakan Zulfarhan – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkarnain (kanan) ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. Foto oleh Faiz Alif Zubir/KOSMO!

PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan hari ini berhujah tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan penglibatan 12 bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mencederakan Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain sehingga maut tujuh tahun lalu.

Ini kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan niat bersama yang menjurus kepada bukti bahawa mereka merupakan rakan sejenayah dan terlibat memukul mangsa.

Salah seorang peguam A.G. Kalidas ketika berhujah berkata sukar untuk membuktikan bahawa kesemuanya mengambil bahagian memukul Zulfarhan kerana ketika kejadian terdapat hampir 50 penuntut mendiami asrama penginapan tempat kejadian berlaku.

Hujah beliau, mahkamah harus memberi pertimbangan dan menentukan sama ada mereka benar-benar rakan sejenayah kerana sejumlah 32 orang daripadanya ditahan dan direman yang mana sebahagian daripada mereka menjadi saksi pendakwaan.

“Dalam kes tersebut, sukar untuk memastikan individu mana yang mengambil bahagian dan mana yang tidak terlibat,” katanya.

Menurut Kalidas, hujahan itu dikukuhkan lagi dengan keterangan bahawa kasut sukan yang didakwa digunakan untuk mencederakan Zulfarhan, tidak ditemukan manakala mangsa juga tidak mengadu atau menunjukkan dia dalam kesakitan ketika itu.

“Perkara-perkara ini tidak dipertimbangkan oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika menyediakan alasan penghakimannya sewaktu memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan,” hujah beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail selaku responden dalam rayuan silang itu ketika berhujah dapatan hakim Mahkamah Tinggi menyatakan berlaku kecederaan terhadap Zulfarhan, menunjukkan ia dilakukan oleh perayu-perayu.

“Tiada sebarang percanggahan material, yang menunjukkan keterangan melimpah ruah terhadap semua tertuduh, melibatkan kecederaan kepada mangsa. Bagi kes pemerasan pula, mangsa dituduh mencuri dan kejadian mencederakan tubuh mangsa, berlaku bagi mendapatkan pengakuannya,” katanya.

Sebelum ini kesemua 12 parayu itu didapati bersalah mencederakan Zulfarhan mengikut mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Namun Mahkamah Tinggi membenarkan penggantungan penjara kepada 12 penuntut itu dengan jaminan RM7,000 dikekalkan.

Prosiding rayuan pihak-pihak di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dan dua lagi hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin bersambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI