fbpx

Perlu dana berterusan sokong penyelidikan di Antartika – Sultan Mizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Mizan berkenan menyampaikan ucapan ketika Majlis Perasmian Malaysian International Seminar on Antartica (MISA) ke-10, di Bangi Resort Hotel, di sini hari ini. FOTO oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

BANGI – Malaysia akan terus komited untuk menangani isu perubahan iklim dan pemuliharaan sumber Antartika dengan melibatkan diri secara aktif dalam penyelidikan sains dan urus tadbir benua tersebut.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, Malaysia kini berada di tempat ke-36 daripada 200 negara dalam penerbitan kertas saintifik melibatkan kawasan Artik dan Antartika.

Bagaimanapun, Baginda bertitah, untuk memastikan penyelidikan di Antartika berkembang maju, Malaysia perlu mempunyai rangka kerja dasar yang merangkumi peruntukan tahunan untuk menyokong usaha-usaha penyelidikan di kawasan tersebut.

“Dengan minat yang semakin bertambah dalam penyelidikan yang berkaitan dengan perubahan iklim di kawasan kutub, dana penyelidikan yang berterusan adalah penting sebagai sokongan terhadap program penyelidikan yang dijalankan.

“Malah, segala data yang diperoleh di kawasan kutub amat penting untuk memastikan pembuat polisi dapat merangka dasar yang terbaik untuk mengurangkan ancaman perubahan iklim terhadap negara.

“Sokongan yang diterima daripada Kerajaan akan memberikan mesej yang jelas kepada sektor swasta mengenai kepentingan kawasan kutub, secara tidak langsung menggalakkan keterlibatan mereka dalam misi ini,” titahnya ketika berucap di Majlis Perasmian Malaysian International Seminar on Antartica (MISA) ke-10, di Bangi Resort Hotel, di sini hari ini.

Sultan Mizan yang juga Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) bertitah, misi untuk menangani perubahan iklim dan melindungi kawasan kutub tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada semua pihak.

“Oleh itu, kesedaran mengenai perubahan iklim yang berkaitan dengan kawasan kutub amat penting untuk menarik sokongan daripada masyarakat.

“Pengetahuan mengenai isu ini dapat membantu orang ramai memahami dan dalam masa yang sama, menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk menangani masalah melibatkan perubahan iklim terutamanya melalui perubahan sikap,” titahnya.

MISA10 merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan YPASM dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Bertemakan ‘Penyelidikan Kutub untuk Kelestarian dan Kesihatan Planet’, matlamat utama MISA10 adalah untuk memupuk pertukaran pengetahuan dan kerjasama dalam bidang penyelidikan kutub untuk kesejahteraan planet.

Pada majlis yang sama, Sultan Mizan turut berkenan untuk menganugerahkan geran penyelidikan bernilai RM50,000 sehingga RM150,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM800,000 kepada tujuh penyelidik melalui kerjasama ‘Smart Partnership Initiative’ antara YPASM dan sepuluh universiti tempatan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI